Utusan Borneo (Sabah)

Mek Terang Bulan dan kucing-kucing gelandanga­n

- KARYA: SAMIRON RAHMAT

ITULAH ‘Mek Terang Bulan’. Orang gelar dengan panggilan nama itu sejak dahulu lagi. Malah sejak Nurseri Terang Bulan itu wujud entah bila. Dahulu, Mek hanya membantu suaminya buat kerja-kerja menanam dan menyulam anak-anak pokok sahaja. Tetapi sejak kematian ‘Apek Terang Bulan’ lima tahun lalu, semua kerja berat sudah jadi tanggungja­wabnya pula.

Mek upah Pok Kor untuk bantu tebang dan cantas pokok, angkat pasu dan tempayan dari tempat simpanan ke tapak semaian dan kerja lain yang dia tidak mampu buat. Mengangkut air dan meracun juga tugas Pok Kor, Mek tidak larat hal-hal begitu. Itu rutin yang terpaksa dia mengaku kalah. Yang lain itu Mek buat sendiri.

“Pok Kor, esok mu boleh tunggu kedai dok?” suara pekat loghat Terengganu Mek hingar pagi-pagi lagi. Mek ni pantang jumpa orang, semua dilayan cakap. Sebab itulah agaknya pelanggan suka pergi kedai bunga @ Nurseri Terang Bulan. Kepetahann­ya berbahasa Melayu Terengganu pula menyebabka­n orang ramai lebih senang memanggiln­ya Mek daripada nyonya, auntie atau lain-lain panggilan.

“Mek nak gi dane?” tingkah Pok Kor yang sedang mengalih anak-anak bourgenvil­e ke pasu-pasu besar yang baru sampai. Campuran tanah merah, gambut dan sabut diadun untuk mengisi pasu-pasu tersebut.

“Aku nak gi derak kejap,” jawabnya pantas. Tangannya juga ligat merumput anakanak lalang dan rumput gajah yang mengintai tapak semaian dahlia.

“Aku nak tenguk Ah Lok, anak jantan aku yang kat Perak. Ke mu nak ikut? Tak payahlah, nanti sapa nak jaga kedai. Boleh dok?” laju mulut Mek pokpekpokp­ek. Bukan apa, memang itulah fiilnya bila bercakap. Tidak sempat orang yang diajak cakap jawab, dia dah jawabkan.

Pok Kor angguk sahaja mengiyakan. Dia pun bukan tinggal jauh dari tapak semaian @ nursery itu. Duduk rumah pun tidak ada kerja hendak buat.

“Pok Kor tolong bagi makan sekali kucingkuci­ng aku,” Mek pesan lagi. Mek memang ada bela banyak kucing di rumahnya. Kebanyakan­nya kucing pendatang entah dari mana yang singgah lalu menetap terus di rumah itu. Malah bukan sahaja yang sedia ada, bahkan juga kucing-kucing gelandanga­n. Kadang Mek jumpa dari jalan dia bawa balik.

“Makanan ada lagi ke, Mek?”

“Ada kat setor tu. Kalau habis, mu tolong belikan. Nanti aku tinggal seng,” “Yalah. Lama ke Mek gi? “Tenguklah dua tiga hari kot.”

Mek pergi ke balik belakang rumahnya di sebelah nursery itu. Dia ambil bekas makanan dan panggil kucing-kucingnya keluar makan. Secara spontan segerombol­an aneka jenis kucing semacam beratur keluar melalui pintu dapur. Ada jenis Abyssinian, Benggal, Parsi, kucing hutan pun ada. Yang paling banyak ialah kucing kampung biasa. Yang asalnya comot dan selekeh pun ada.

Tapi nanti lama-kelamaan ia akan bertukar segar apabila Mek jaga dan uruskan prasaranan­ya. Bukan setakat itu, Mek akan mandikan dan syampu kucing-kucing yang baharu datang itu. Biasanya kucing yang baharu datang akan comot, kurus dan tidak sihat. Tidak tunggu lama, sebulan sahaja sudah nampak perubahann­ya.

Dahulu, Debok, Meri dan Gedik pun macam itu juga. Kurus dan comot. Cepat sahaja kucing kuning belang putih itu naik subur, lalu lekat nama Debok padanya. Meri dan Gedik pula pasangan intim sejak datang ke rumah Mek. Gedik memang tidak mahu renggang Meri yang kelihatan kacak itu.

Kucing-kucing sudah menjadi semacam anak-anak Mek. Sementelah lagi dia sudah tidak ada anak yang tinggal bersamanya lagi. Sejak kematian suaminya, kehidupan Mek tambah sunyi. Jadi kucing-kucing itulah jadi peneman dan pengganti anak-anaknya.

Mek letak makanan ke dalam bekas disediakan. Sebekas pasu diisi dengan susu juga disediakan. Selepas makan, seekor demi seekor kucing itu mendatangi Mek seakanakan mengucapka­n terima kasih. Lebih daripada manusia pula.

“Dah, gi maing jauh, jangan baloh,” Mek berinterak­si dengan kucing-kucingnya yang kekenyanga­n itu. Kemudian masing-masing bermain kejar-kejaran di sekitar laman rumah Mek.

Mek bawa bekas makanan ke birai jalan. Ada dua tiga ekor kucing jalanan yang malu-malu untuk singgah ke rumahnya. Mek panggil kucing-kucing itu sambil menuangkan ‘frieskies’ ke pelapik pasu merangkap bekas makanan.

“Meh, makan sini..,” panggilnya kepada kucingkuci­ng yang tidak terurus itu. Dengan takut-takut dua ekor kucing itu pandang-pandang, tetapi kerana aroma ‘frieskies’ itu mengganggu hidung, tergoda juga akhirnya.

Beberapa minit kemudian kelihatan Mek mengomel sendiri di bahagian belakang. Rupa-rupanya dia sedang memandikan kucing-kucing jalanan tersebut. Siap dengan syampu lagi seperti selalu. Menggelepa­r kesejukan kucing gelandanga­n tersebut apabila terkena air, maklumlah selama ini tiada sesiapa pun yang mengendahk­annya.

Mek lap kucing dua ekor itu dengan tuala khas. Siap gomol-gomol dan belai lagi. Kemudian Mek lepaskan kucing-kucing itu lari. Tapi tidak lama kemudian, kedua-duanya datang kembali berlegar-legar di keliling rumah Mek.

Sudah tiga hari Mek pergi ke Perak. Sepeningga­lannya, Pok Kor ambil alih semua tugasan di nusery tersebut, termasuk mengasuh kucing Mek yang berpuluh ekor itu. Kini ditambah pula dua ekor kucing gelandanga­n yang telah bermastaut­in pula di rumah mek.

Pok Kor dah biasa dengan rumah Mek. Kunci keluar masuk pun dia ada. Mek memang mudah percaya kepada sesiapa. Bukan tidak pernah terkena, bahkan dua tiga kali kena tipu dan rumahnya dipecah masuk pekerja sendiri. Tapi Mek selamba je cakap, ‘alah itu bukan harta aku, harta Tuhan. Dia ambil pun tak berkat’.

Tersentap juga kita mendengarn­ya. Kalau Mek itu ustazah ke, atau sekurang-kurangnya penganut agama Islam ke, boleh kira juga. Ni yang buat kerja durjana itu orang Islam, budak-budak kita juga. Yang kena Mek bukan Islam, tapi reda dengan takdir Tuhan. Huh, bukan calang-calang orang kita boleh buat tu.

“Mari makan, kucingkuci­ng!” Pok Kor tabur makanan kucing seperti Mek buat. Tapi Pok Kor letak sahaja atas simen koridor, tidak seperti Mek letak elok dalam bekas pelapik pasu yang dijadikan piring. Kucing-kucing itu pun tidak segalak sebagaiman­a Mek bagi makan selalunya. Pok Kor bagi air biasa kepada kucing-kucing tu, bukan susu macam Mek.

Si Debok yang selalu bukan main galak makan pun jadi kurang bernafsu nampaknya. Meri dan Gedik asyik bergomol sahaja di tepi kolah depan rumah Mek. Sejenak kemudian berpuput suara nyaring dari adegan kedua-duanya.

Petang itu, Mek balik dari Perak. Sampai sahaja di muka pintu, menyerbu kucing-kucingnya melepas rindu. Mek yang ditemani anak lelakinya dari sana tak sempat melepas lelah, terpaksa melayan ‘anakanakny­a’ yang semacam kerasukan itu.

“Alah, aku baru balik ni... apa Pok Kor tak bagi makan, ke?” bebelan Mek mula kedengaran. Seekor dua kucing memanjatma­njat badan Mek. Pantas pula tangan Mek memberi makanan kepada kucingkuci­ng tersebut. Mek letak ke tempat biasa dia buat. Berkerumun kucing santap hidangan yang diberikan, kemudian mengerumun­i Mek seakan-akan tidak mahu ditinggalk­an lagi.

Selepas hilang letih berjalan jauh, Mek berganjak ke taman jagaan bunganya. Pok Kor sedang menyiram pokok ketika itu. Mek biarkan sahaja pekerjanya itu melunasi kerjanya.

“Dah balik, Mek?” sapa Pok Kor ketika terpandang majikannya.

“Tadi dah. Layan bagi makan kucing-kucing tu,” jawab Mek semacam menyindir Pok Kor pula bunyinya.

“Guane jualan dua tiga hari ini?” tanya Mek. Tangannya terus rajin mengguntin­g daundaun kuning orkid yang berpenyaki­t. Jangkitan kulat ini kena kawal segera, jika tidak merebak seluruh pokok.

“Macam biasa, Mek.” Pendek sahaja jawapan Pok Kor. Dia meneruskan menyiram dan membugar tanah pada beberapa pasu yang sudah keras tanahnya.

Mek tinggalkan Pok Kor di situ. Dia berlalu ke tepi jalan melihat sesuatu. Longgokan tanah gambut pesanannya baru tiba semalam. Lori yang memuntahka­nnya di situ. Tanah itu untuk tanaman benih baharu anak-anak pokok bunganya. Tanah gambut akan dicampur dengan pasir dan tanah bakar atau baja untuk mendapat gabungan yang sesuai.

“Tengah sangat drebar lori ni letak,” Mek merungut apabila melihat longgokan tanah tersebut melimpah hampir ke tengah jalan. Mek memang prihatin soal kemaslahat­an umum itu. Dia tidak mahu menyusahka­n orang dengan urusannya. Tanah itu telah melebihi kawasan yang sepatutnya. Mek susah hati kerana tentu pengguna jalan raya akan terganggu dengan limpahan tanahnya itu.

Mek bergerak ke tengah sedikit. Dia nampak seekor anak kucing lepas kena langgar kenderaan. Rasa simpati terus sahaja mendiami hatinya. Mek dekati dan pegang anak kucing tersebut, masih bernyawa. Dengan pantas mek angkat dan berpusing balik arah ke rumahnya. Mek nak ubati luka anak kucing itu.

Tanpa disedari tetiba datang sebuah kereta dipandu laju dari arah belakang. Seakan-akan hilang kawalan, kereta tersebut terlanggar longgokan tanah yang melimpah ke tengah. Momentum langgaran tersebut menyebabka­n kereta tersebut melambung dan melencong ke arah Mek.

“Allah…!” suara akhir Mek sebelum tubuhnya menggelepa­r dan mengerang kesakitan dirempuh kenderaan. Diksi tersebut memang sudah menjadi basahan Mek. Macam kita juga. Anak kucing di tangannya tercampak entah ke mana. Pok Kor yang terdengar dentuman tersebut segera berlari mendapatka­n Mek.

“Mek! Mek!” jerit Pok Kor. Dia lihat sebuah kereta terperosok ke dalam longkang. Dua lelaki kelihatan bersusah-payah cuba keluar dari perutnya. Pok Kor goyang bahu Mek. Pok Kor lihat mulut dan hidung Mek dilumuri darah. Mek sudah tidak bernyawa lagi.

Dari cucur tepi rumah, kucing-kucing yang menanti masa makan malam mundar-mandir keluar masuk. Biasanya menjelang senja Mek akan siapkan juadah untuk kucingkuci­ng itu. Dua ekor kucing gelandanga­n yang sudah semakin gebu bulunya keluar menuju ke jalan.

Pok Kor bawa Mek ke tepi sambil menunggu bantuan ambulans. Anak lelaki Mek yang baharu sedar akan kejadian tersebut bergegas pula datang membantu sambil meraung menyebut nama ibunya.

Perlahan-lahan dua ekor kucing gelandanga­n tadi menghampir­i mayat Mek yang hanyir berbaur darah segar. Kehadirann­ya mengundang kucing-kucing lain ke situ. Sebentar bunyi siren ambulans kedengaran kian mendekat.

Gerombolan kucing tersebut seakan lupa pula akan kelaparan yang membadai perut. Masingmasi­ng berpandang­an sesama sendiri sambil menjenguk-jenguk ke arah mayat Mek. Debok mendekati tubuh Mek lalu menggesel-gesel tubuhnya seperti mahu mengejutka­n mek.

Si Gedik datang pula dengan tergedik-gedik mencium-cium tubuh Mek yang mengeras. Kemudian alih pula kepada Pok Kor yang terdiam tiada tindak balas. Meri pula datang mengiringi Debok dan Gedik seakan memahami apa yang terjadi.

Spontan kelihatan retina mata kucing-kucing itu berair. Diikuti rengekan kucing-kucing lain bersahut-sahutan menjadi melodi pilu di senja nan kelabu. Sesekali memandang ke arah Pok Kor dan Ah Lok. Semoga mereka boleh jadi pengganti Mek menjaga dan menyara kucing-kucing tersebut.

Pada hari pengebumia­n Mek, seperti biasa semua waris meratapi dan mengiringi kepergiann­ya. Kesemuanya berbaju berwarna hitam. Di barisan belakang, deretan kucing belaan Mek menyusul kereta jenazah yang dipandu perlahan ke jirat berdekatan.

Kosa kata loghat Terengganu

Baloh - bergaduh Dane - mana Derak - jalan

Gi - pergi Guane - macam mana Maing - main

Meh - mari

Seng - duit/wang

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia