Utusan Borneo (Sabah)

Piala Raja Thai medan pemilihan pemain-pemain ke saingan Sukan SEA 2021

-

KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka menyertai kejohanan sepak takraw Piala Raja Thai di Bangkok, Disember ini sebagai persiapan awal skuad negara menghadapi Sukan SEA Vietnam tahun hadapan.

Timbalan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Akramuddin Abd Aziz berkata kejohanan itu menjadi antara medan pemilihan pemain-pemain bagi mewakili negara pada temasya sukan dwitahunan tersebut.

Bagaimanap­un, penyertaan skuad negara bergantung kepada permohonan rentas sempadan yang dihantar badan induk itu kepada Majlis Sukan Negara serta Kementeria­n Belia dan Sukan memandangk­an kebanyakan negara masih tidak membenarka­n kedatangan pelawat luar negara susulan pandemik COVID-19, katanya.

“Pemain kita telah mengadakan latihan pusat (sejak awal tahun), dan saya percaya semangat yang telah ditunjukka­n pemain kita, insya-Allah, satu keputusan positif akan menjelma pada Sukan SEA nanti,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran jersi Liga

Sepak Takraw (STL) jenama Li Ning di sini semalam.

Malaysia pernah menjuarai kategori antara regu pada saingan Piala Raja Thai pada 2010, 2011 dan 2013.

Sementara itu, Vietnam dilaporkan bercadang mempertand­ingkan lapan acara sepak takraw pada Sukan SEA ke-31.

Dalam pada itu, Akramuddin yakin penganjura­n STL pada musim ini di Stadium Titiwangsa di sini tetap meriah walaupun tanpa kehadiran penonton sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa bagi memastikan kejohanan tahunan berkenaan berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

“Penonton (siaran televisyen) yang menyaksika­n saingan STL pada musim lepas hampir mencecah enam juta dan menjangka jumlah berkenaan akan meningkat,” katanya.

Sebanyak lapan pasukan Divisyen Satu dan 10 pasukan Premier menyertai saingan STL musim ini.

Saingan Divisyen Satu akan bermula 8 September ini manakala Liga Premier pada 18 September ini. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia