Utusan Borneo (Sabah)

Menteri kabinet sangkal dakwaan Anwar dapat sokongan bentuk kerajaan baharu

-

KUALA LUMPUR: Beberapa menteri kabinet memanfaatk­an media sosial masing-masing untuk menyangkal dakwaan Ketua Pembangkan­g Datuk Seri Anwar Ibrahim yang beliau mendapat sokongan ‘kukuh dan meyakinkan’ untuk membentuk kerajaan persekutua­n yang baharu.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin menerusi akaun Twitternya menafikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah tumbang seperti yang didakwa Anwar.

“Baru selesai mesyuarat Jemaah Menteri. Tidak ada apa-apa yang tumbang atau jatuh,” katanya dalam hantaran itu selain turut memuat naik gambar keadaan mesyuarat kabinet di Putrajaya semalam.

Anwar dalam sidang media di sini hari ini mendakwa kerajaan PN di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ‘telah jatuh’ dan beliau menerima ‘sokongan kukuh dan meyakinkan’ daripada ahli parlimen untuk membentuk kerajaan persekutua­n yang baharu.

Sementara itu, Menteri Kanan merangkap Menteri Perdaganga­n Antarabang­sa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam hantaran Twitternya, dipercayai sebagai respons terhadap kenyataan Anwar, menyifatka­n seseorang sebagai pembohong dan psikopat politik.

“Incorrigib­le liar and political psychopath,” katanya ringkas dalam hantaran yang dimuat naik sejurus pengumuman Anwar tengah hari semalam.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan yang juga Setiausaha Agung PAS, menyifatka­n dakwaan Anwar sebagai ‘sindrom bulan September’, kerana perkara sama pernah berlaku pada 16 September 2008.

Beliau menegaskan kuasa kerajaan masih di bawah pimpinan Muhyiddin.

“September Syndrome... Previously 16, now 26 (September). Whatever, the trump card is still with PM (Prime Minister).” katanya juga menerusi Twitter.

Menteri Wilayah Persekutua­n Tan Sri Annuar Musa pula berkata kenyataan Anwar itu sebagai cubaan memecahkan solidariti pakatan politik Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang terdiri daripada Barisan Nasional, PN dan Parti Bersatu Sabah (PBS) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Tegasnya, dakwaan Anwar itu juga sebagai cubaan melunturka­n ‘incumbency’ kerajaan pusat dan memberi kelebihan kepada Warisan Plus pada PRN Sabah.

“Ini sikapnya (Anwar) dari dulu tanpa peduli kesan buruk kepada kestabilan negara dan kesejahter­aan rakyat,” katanya.

Annuar turut menyifatka­n perbuatan itu sebagai tindakan terdesak setelah Presiden PKR tersebut gagal menghalang prosiding mahkamah yang diambil oleh seorang individu yang mencabar kesahihan pengampuna­n penuh yang diterima Anwar berhubung sabitan dan hukuman penjara atas kesalahan meliwat. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia