Utusan Borneo (Sabah)

Muhyiddin seru rakyat tolak tindakan jejas kestabilan politik

-

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam menyeru rakyat menolak tindakan membuta tuli segelintir ahli politik yang sengaja mahu menjejaska­n kestabilan politik dan pelan pemulihan ekonomi negara yang sedang dilaksanak­an dengan baik pada masa ini.

Perdana Menteri berkata apa yang perlu adalah sebuah kerajaan yang stabil dan teguh dengan sokongan rakyat, supaya lebih banyak inisiatif memulihkan ekonomi dan membantu rakyat dapat dilaksanak­an dengan berkesan.

“Saya ingin mengajak saudara dan saudari sekalian supaya bersama-sama dengan saya dan rakan-rakan dalam Kerajaan Perikatan Nasional untuk mengemudi negara dalam keadaan kita masih berhadapan dengan krisis ekonomi dan kesihatan pada masa ini.

“Pengumuman yang saya buat pada hari ini menandakan Kerajaan Perikatan Nasional mendengar rintihan saudara dan saudari sekalian.

“Kita cuba sedaya upaya untuk membantu rakyat menghadapi detik yang sukar ini,” katanya dalam pengumuman khas Kerangka Inisiatif Tambahan Khas (KITA PRIHATIN) yang disiarkan secara langsung semalam.

Sementara itu, Muhyiddin berharap rakyat kekal istiqamah dalam mengamalka­n penjagaan kendiri dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan untuk memastikan semua pihak terlindung daripada wabak COVID-19.

“Selama enam bulan yang lepas telah kita harungi tempoh yang sukar. Alhamdulil­lah, kita masih dapat bertahan,” katanya.

Beliau berkata setiap tindakan boleh menentukan bukan sahaja keselamata­n diri sendiri tetapi juga keselamata­n orang lain seperti anakanak, ibu bapa, saudara mara, rakan-rakan serta masyarakat sekeliling.

Jelas Perdana Menteri, COVID-19 dan kesan wabak itu ke atas kehidupan manusia tidak membezakan antara kaum, agama atau fahaman politik kerana semua pihak terkesan dengannya tanpa ada yang terkecuali.

“Kita tidak boleh mengharapk­an bantuan dari luar kerana negara-negara lain juga sedang bergelut menyelesai­kan masalah mereka sendiri. Kita hanya dapat bergantung kepada sesama kita dalam sebuah keluarga besar rakyat Malaysia. Semangat ‘kekitaan’ inilah yang kita mahukan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia