Utusan Borneo (Sabah)

Angola berkas ahli perniagaan rapat dengan dos Santos atas tuduhan rasuah

-

LUANDA: Pendakwa kerajaan Angola kelmarin menangkap seorang ahli perniagaan yang ada hubungan rapat dengan bekas presiden Jose Eduardo dos Santos berhubung dakwaan rasuah, di tengah-tengah kempen antirasuah yang amnya menyasari rejim lama.

Carlos Manuel de Sao Vicente, yang mengetuai sekumpulan syarikat yang menjual kontrak insurans kepada syarikat minyak gergasi kerajaan, Sonangol, diletakkan dalam tahanan pencegahan selepas beberapa aset perniagaan­nya dirampas.

Dia adalah suami anak perempuan dos Santos, yang telah dituduh melantik kroni dan anggota keluarga untuk mengisi jawatan penting sewaktu pemerintah­annya pada 1979-2017.

Hanya elit kecil sahaja mendapat manfaat daripada rizab galian dan minyak yang besar di Angola sewaktu pemerintah­an dos Santos, yang sudah berhijrah ke luar negara bersama kebanyakan anggota keluargany­a.

Pendakwa Swiss pada 2018 membekukan AS$900 juta (RM3.87 bilion) yang disimpan dalam akaun milik De Sao Vicente sebagai sebahagian daripada siasatan pengubahan wang.

Pada awal bulan ini, pendakwa Angola merampas bangunan dan hotel yang dimiliki salah sebuah syarikat De Sao Vicente, AAA Seguros, untuk menyiasat dakwaan rasuah.

Peranan insurans AAA dalam Sonangol sudah pun ditarik balik oleh dekri presiden pada 2016 berhubung dakwaan bahawa pengurusan­nya tidak telus.

Peguam Negara Angola, Alvaro Da Silva Joao, kelmarin berkata De Sao Vicente sudah diletakkan dalam tahanan pencegahan selepas sehari disoal siasat.

“Soal siasat itu menghasilk­an indikasi yang kuat tentang penggelapa­n wang, penyalahgu­naan kuasa, rasuah dan penjajaan pengaruh, dan lain-lain,” Joao menyebut dalam satu kenyataan.

“Disebabkan oleh keseriusan kesalahan jenayah itu, defendan telah dibawa ke penjara di Viana (Luanda) dan menunggu prosedur seterusnya.”

De Sao Vicente sebelum ini menafikan salah laku.

Dia dipercayai menjadi sasaran terkini kempen antirasuah yang diketuai Presiden Joao Lourenco, yang amnya ditujukan kepada anggota keluarga presiden lama.

Pada bulan lepas, anak bekas presiden, Jose Filomeno dos Santos, dijatuhi hukuman penjara selama lima tahun kerana memesongka­n hasil pendapatan minyak dari dana kekayaan berdaulat Angola, yang dia urus dari 2013 hingga 2018. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia