Utusan Borneo (Sabah)

Shahelmy fokus pendidikan, banjir kilat DUN Tanjung Keramat

-

KOTA KINABALU: Calon Barisan Nasional (BN) Ir Shahelmy Yahya mahu memberi tumpuan kepada usaha meningkatk­an tahap pendidikan dan memperkasa­kan kemahiran teknologi golongan belia jika diberi mandat menjadi wakil rakyat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat.

Jurutera awam berusia 44 tahun itu berkata beliau mahu mengoptimu­mkan sumber manusia berdasarka­n ilmu pengetahua­n dalam kalangan belia yang merupakan 58.42 peratus pengundi berusia dalam lingkungan 21 hingga 39 tahun di kawasan itu.

“Hal ini kerana, kita berada pada era teknologi dan maklumat yang mana peredarann­ya begitu pantas.

“Jadi orang muda kena ada asas ilmu pengetahua­n untuk memastikan kita mempunyai daya saing yang tinggi,” katanya kepada Bernama semalam.

Menurut calon UMNO itu, dalam dunia hari ini golongan belia bukan hanya bersaing di Tanjung Keramat tetapi juga di peringkat global.

Selain itu, katanya, fokus beliau juga terhadap penambahba­ikan sistem perparitan tersumbat yang sering menyebabka­n banjir kilat serta pengurusan sampah di kawasan baharu pilihan raya itu.

Berasal dari Kampung Sipanggil Putatan, Shahelmy juga mahu mempergiat­kan aktiviti ekonomi dan perniagaan dengan mengadapta­si teknologi digital khususnya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Tanjung Keramat merupakan antara 13 DUN baharu selepas diwartakan oleh Suruhanjay­a Pilihan Raya pada tahun lalu dan ia terletak dalam kawasan Parlimen Putatan yang mempunyai seramai 14,350 pengundi.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Sabtu ini, Shahelmy akan berdepan dengan calon LDP Faezah Ibnu, Mohd Salleh Lamsin (USNO), Ira Uzair (PCS) dan calon WARISAN, Rosdy Wasli. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia