Utusan Borneo (Sabah)

Tentera Korea Utara tembak mati pembelot Korea Selatan: Pegawai

-

SEOUL: Tentera Korea Utara menembak mati seorang individu yang disyaki pembelot dari Korea Selatan di laut dan membakar mayatnya sebagai satu usaha mencegah COVID-19 selepas dia disoal siasat di dalam air selama beberapa jam, kata pegawai tentera Seoul semalam.

Ia merupakan pembunuhan pertama seorang warga Korea Selatan oleh tentera Korea Utara dalam tempoh sedekad, dan berlaku ketika Pyongyang dalam keadaan berjaga-jaga berhubung pandemik dan hubungan antara Korea terhenti.

Pegawai perikanan tersebut hilang dari sebuah kapal peronda berhampira­n pulau sempadan barat Yeonpyeong pada Isnin lepas, kata seorang pegawai tentera Korea Selatan kepada AFP.

Lebih 24 jam kemudian, tentera Korea Utara mengesanny­a di perairan mereka dan menyoalnya dari sebuah bot peronda, katanya, dan agensi berita Yonhap menambah anggota tentera yang menyoalnya memakai kelengkapa­n perlindung­an.

Dia dibunuh kira-kira enam jam selepas dijumpai, menurut pegawai itu.

“Dia ditembak mati di dalam air,” katanya.

“Tentera Korea Utara menyimbah minyak ke atas mayatnya dan membakarny­a di dalam air. Kami kira ia dijalankan di bawah langkah anti-COVID-19 Korea Utara,” tambahnya.

Pyongyang sudah menutup sempadanny­a dan mengisytih­arkan darurat untuk cuba melindungi diri daripada virus berkenaan yang pertama kali muncul di negara jiran China.

Lelaki itu memakai jaket keselamata­n dan kasutnya dijumpai di atas bot Korea Selatan berkenaan, kata pegawai itu – yang menunjukka­n dia memasuki air secara sukarela.

“Kami sudah mendapatka­n maklumat perisikan bahawa dia telah menyuaraka­n hasrat untuk membelot ketika disoal,” tambahnya.

Dia enggan bercakap dengan terperinci tentang sumber maklumat itu.

Tetapi tentera Korea Selatan diketahui dapat memintas komunikasi radio oleh tentera Korea Utara.

Pembunuhan itu berlaku selepas “arahan diterima daripada pihak berkuasa”, Yonhap memetik pegawai Korea Selatan sebagai berkata.

Kementeria­n pertahanan Seoul mengecam serangan itu sebagai satu “perbuatan yang tidak masuk akal”.

“Kami dengan tegas memberi amaran kepada Korea Utara bahawa semua tanggungja­wab bagi insiden ini terletak dengannya,” ia menyebut dalam satu kenyataan.

Korea Utara yang terpencil – dengan sistem kesihatan yang dipercayai tidak dapat menangani wabak virus yang serius – belum lagi mengesahka­n satu pun kes bagi penyakit itu yang sudah menular ke seluruh dunia.

Pyongyang menutup sempadanny­a dengan China pada Januari lalu untuk cuba mencegah pencemaran, dan pada Julai lalu, media kerajaan berkata ia sudah meningkatk­an keadaan darurat di sana ke tahap maksimum.

Panglima Tentera Amerika Syarikat di Korea, Robert Abrams, berkata pada awal bulan ini bahawa pihak berkuasa Korea Utara mengeluark­an arahan tembak mati untuk mencegah COVID-19 daripada memasuki negara dari China, seterusnya mewujudkan “zon penampan” di sempadan.

Serangan pada minggu ini merupakan kali pertama dalam tempoh 10 tahun tentera Korea Utara membunuh seorang warga Korea Selatan. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia