Utusan Borneo (Sabah)

CUEPACS minta sejumlah 55,000 kakitangan kontrak dilantik semula

-

IPOH: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmat­an Awam (CUEPACS) meminta kerajaan melantik semula 55,000 kakitangan kontrak yang ditamatkan perkhidmat­an dalam sektor awam ekoran pertukaran kerajaan memerintah dua tahun lepas.

Presidenny­a, Adnan Mat berkata jumlah berkenaan meliputi kakitangan yang berkhidmat di Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Seranta FELDA.

“Kita memohon ada pertimbang­an khas kepada semua kakitangan kontrak yang telah ditamatkan oleh kerajaan terdahulu supaya mereka ini diambil semula berkhidmat di mana-mana agensi kerana keperluan itu wujud.

Perkara ini perlu diberi keutamaan selain memberi ruang mereka kembali bekerja selepas terjejas dan sengsara hampir dua tahun berikutan penamatan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tritahunan Kesatuan Kakitangan Kumpulan Sokongan Hal Ehwal Islam, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) di sini semalam.

Adnan berkata, mereka juga berkemungk­inan boleh diserapkan sebagai pekerja tetap memandangk­an ada sesetengah jawatan yang disandang itu mempunyai waran perjawatan tetap sepertiman­a yang dikeluarka­n Jabatan Perkhidmat­an Awam (JPA).

Selain itu, beliau menyambut baik langkah kerajaan tidak mengecilka­n saiz penjawat awam yang berjumlah 1.6 juta di seluruh negara meskipun sistem kerajaan elektronik (e-kerajaan) dilaksanak­an.

Beliau berkata, langkah itu penting memandangk­an ada perkara atau pendekatan yang memerlukan hubungan secara langsung dilaksanak­an antara penjawat awam dan rakyat dalam menyelesai­kan sesuatu masalah.

“Tidak semestinya semua perkara dapat diselesaik­an melalui rangkaian atau pautan secara terus daripada Internet sebaliknya ada perkara yang memerlukan sentuhan langsung daripada penjawat awam dalam konteks sistem penyampaia­n antara kerajaan dengan rakyat,” katanya.

Katanya, pengekalan jumlah penjawat awam sedia ada itu juga amat penting dalam meningkatk­an lagi produktivi­ti dan kualiti perkhidmat­an awam di setiap peringkat. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia