Utusan Borneo (Sabah)

Hajiji mampu perbaiki ekonomi Sabah

- Oleh Abd Naddin Hj Shaiddin

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Mohd Noor mampu memperbaik­i keadaan dan situasi ekonomi negeri Sabah yang sebelum ini banyak terjejas oleh kerenah ahli-ahli politik.

Seorang aktivis hak asasi manusia dan mantan pemimpin persatuan pengguna Datuk Patrick Sindu berkata, prestasi ekonomi yang tidak menentu dan bertambah buruk akibat pandemik perlu dipulihkan agar kesejahter­aan rakyat sentiasa terjamin.

“Apa yang kita mahu perbaiki keadaan di Sabah termasuk ekonomi yang begitu rosak oleh sepak terajang politikus atau ahli-ahli politik,” katanya kepada Utusan Borneo.

Menurutnya, Hajiji adalah Ketua Menteri untuk semua rakyat Sabah dan semua kaum serta perlu bekerja lebih kuat untuk memastikan rakyat Sabah menerima pembelaan dan memiliki masa depan yang lebih cerah.

“Bersihkan gejala yang tidak baik, pertingkat­kan ekonomi yang tidak menentu dan terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

“Saya mempunyai keyakinan kepada beliau sebagai seorang pemimpin yang mampu meletakkan hala tuju yang cemerlang kepada Sabah.

“Selain itu, beliau mempunyai keperibadi­an yang baik, seorang yang peramah, mudah mesra dan disenangi rakyat,” katanya.

Bagaimanap­un, beliau meminta agar Putrajaya tidak terlalu banyak campur tangan dalam hal ehwal Sabah dan biarkan orang Sabah sendiri yang menentukan hala tuju negeri tanpa ada tekanan dari Kuala Lumpur.

“Apa yang kita mahu jangan terlalu ikut telunjuk sebaliknya biarlah Sabah memiliki lebih autonomi,” katanya.

Menurutnya, antara perkara yang perlu diberikan perhatian ialah infrastruk­tur asas, bekalan air bersih, kemudahan pendidikan dan sebagainya.

Selain itu, Patrick meminta agar apa saja dasar-dasar kerajaan lepas yang baik, perlu diteruskan untuk kepentinga­n rakyat Sabah.

“Kalau boleh, kita lupakan dulu politik sebaliknya tumpukan usaha demi kepentinga­n Sabah,” katanya.

 ??  ?? PATRICK
PATRICK

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia