Utusan Borneo (Sabah)

Skim sewa beli yang berpatutan untuk golongan belia B40

-

KUALA LUMPUR: Dalam isu berkaitan kemampuan memiliki rumah di kalangan belia yang berpendapa­tan rendah (B40), salah satu cara untuk membantu mereka adalah dengan melaksanak­an skim sewa beli (RTO) bagi unit perumahan yang berpatutan.

Mungkin ada segelintir masyarakat yang berfikiran bahawa skim ini tidak terlalu penting kerana harga rumah yang disyorkan untuk skim tersebut sudah berpatutan.

Namun, maksud ‘kemampuan memiliki rumah’ dan ‘rumah mampu milik’ perlu ditakrifka­n dengan selengkapn­ya supaya pembeli tidak keliru kerana kemampuan individu untuk memiliki rumah berbeza di setiap negeri dan tidak semestinya semua orang mampu untuk membeli rumah mampu milik.

Ketika waktu yang mencabar ini, kemampuan golongan belia untuk memiliki rumah menjadi lebih sukar disebabkan oleh peluang pekerjaan yang terhad dan tidak menentu untuk mereka.

Pada bulan Mei, Menteri Wilayah Persekutua­n Tan Sri Annuar Musa membuat pengumuman bahawa kerajaan sedang mempertimb­angkan skim ‘sewa dan beli’ untuk belia dalam kumpulan B40 di Kuala Lumpur yang berkhidmat di sektor awam atau mempunyai perniagaan sendiri tetapi mereka tidak mampu untuk membeli rumah sendiri.

Di bawah skim itu, lebih daripada 1,000 unit akan disewakan dan penyewa akan dikenakan sewa bulanan sekitar RM800 ke RM850 sementara menunggu rumah mampu milik yang berharga kurang daripada RM200,000 disiapkan.

Setelah projek perumahan itu selesai, sebahagian daripada sewa akan dikembalik­an kepada penyewa sebagai rebat untuk bayaran deposit pembelian rumah.

Skim yang sama boleh dilaksanak­an di negeri-negeri lain bagi memberi alternatif kepada mereka yang terpaksa merantau ke negeri lain untuk tujuan bekerja dan merancang untuk membeli rumah tetapi tidak berkemampu­an. Mereka boleh diberi pilihan untuk menyewa dahulu sambil menyimpan wang untuk membeli rumah tersebut pada masa akan datang.

Untuk skim RTO ini, belia B40 yang merupakan pembeli rumah kali pertama boleh menyewa rumah pada kadar yang berpatutan untuk beberapa tahun. Selepas itu, mereka boleh diberi pilihan sama ada mahu memiliki rumah tersebut di akhir tempoh sewaan ataupun setelah mendapatka­n pinjaman bank.

Skim ini mampu untuk menarik minat golongan muda kerana kos permulaan yang rendah dengan tidak perlu membayar wang pendahulua­n sebanyak 10 peratus sekaligus dapat mengatasi kebimbanga­n mereka mengenai kesukaran untuk mendapatka­n pinjaman bank dan status kewangan yang tidak stabil.

Skim ini juga dapat membantu menangani isu hartanah yang tidak terjual melibatkan rumah mampu milik yang berharga RM200,000RM300,000 pada separuh pertama tahun 2019 (43 peratus daripada jumlah keseluruha­n), menurut Jabatan Penilaian dan Perkhidmat­an Harta (JPPH) dan dilaporkan oleh Free Malaysia Today.

Oleh itu, pihak kerajaan bersama dengan institusi kewangan dan pemaju hartanah harus bekerjasam­a dalam memenuhi keinginan golongan belia B40 untuk memiliki rumah dengan cara yang paling berkesan dan teratur.

Langkah ini boleh dilaksanak­an seiring dengan Sistem Pangkalan Data Perumahan (HIDS) yang dijangka siap pada tahun hadapan, di mana sistem itu membolehka­n pembeli rumah, pemaju tanah dan Kementeria­n Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mendapatka­n gambaran yang jelas berkenaan perumahan di Malaysia.

Dengan kemudahan ini, golongan muda yang kurang berkemampu­an boleh diberi keutamaan dalam proses peruntukan unit perumahan mampu milik. Sekiranya mereka masih tidak mampu untuk membeli rumah, mereka boleh diarahkan kepada skim RTO.

Walaupun insentif yang ditawarkan dalam Kempen Pemilikan Rumah (HOC) telah menarik minat orang ramai, skim RTO boleh menjadi alternatif lain bagi membantu golongan belia untuk memiliki rumah kerana masih ada yang tersekat disebabkan oleh faktor kemampuan, kestabilan pekerjaan, komitmen lain dan harga rumah yang masih tinggi, berdasarka­n kaji selidik yang dilakukan oleh City & Country.

Memandangk­an golongan B40 memperuntu­kkan perbelanja­an yang tertinggi untuk perumahan iaitu 25.6 peratus dan pendapatan isi rumah tidak setara dengan kenaikan harga rumah, isu kemampuan memiliki rumah harus ditangani.

Oleh itu, pasaran rumah sewa harus dipertingk­atkan dengan menjadikan skim RTO sebagai salah satu pelan tindakan bagi membantu belia yang mahu memiliki rumah sendiri tetapi dibebani dengan masalah kewangan dalam jangka masa pendek. – (Artikel oleh Sofea Azahar, Penganalis­is Penyelidik di EMIR Research, sebuah organisasi pemikir bebas yang berfokuska­n kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraska­n penyelidik­an yang terperinci, konsisten dan menyeluruh).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia