Utusan Borneo (Sabah)

Kerajaan Selangor diminta pertahan status Hutan Simpan Kekal Kuala Langat

-

KUANTAN: Kerajaan Selangor diminta terus mengekalka­n Hutan Simpan Kekal Kuala Langat Utara bagi memastikan kelestaria­n alam di negeri itu terus terpelihar­a, kata Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata status hutan simpan itu perlu dipertahan kerana ia bukan sekadar berperanan dalam pemulihara­an flora dan fauna tetapi yang lebih penting, bertindak sebagai kawasan tadahan air.

“Kawasan yang sudah diwartakan sebolehnya jangan dikeluarka­n walaupun mungkin kerajaan negeri melihat ada keperluan ekonomi. Kita tidak boleh mengelak daripada pembanguna­n namun implikasi masa depan harus menjadi keutamaan.

“... yang sudah diwartakan sebaiknya kita pertahanka­n malah kita sangat hargai jika ada negeri lain dapat mewartakan hutan simpan yang secara tidak langsung menambah kawasan tadahan air dan memelihara alam sekitar,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Inovasi Jabatan Pengairan dan Saliran 2020 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini yang turut dihadiri Ketua Pengarahny­a, Datuk Ir Nor Hisham Mohd Ghazali dan Pengarah Negeri Ir Mohd

Noor Bidin.

Beliau mengulas tindakan Kerajaan Selangor melakukan sesi pendengara­n awam bagi cadangan pemansuhan kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Utara, Mukim Tanjung Dua Belas, Kuala Langat membabitka­n keluasan 1,971 hektar pada Selasa lepas, yang mendapat bantahan banyak pihak.

Dalam perkembang­an lain, Tuan Ibrahim mengakui optimis bahawa kerja-kerja pemulihara­an sungai bagi mengurangk­an risiko banjir di seluruh negara menggunaka­n peruntukan tambahan sebanyak RM66 juta dapat disiapkan sebelum musim tengkujuh pada hujung tahun ini dengan jangkaan siap sebuah projek ialah selama sebulan.

Beliau berkata kerja-kerja itu, yang bermula di Kelantan pada Ahad lepas, mendapat sambutan positif kerana kontraktor melihatnya sebagai platform untuk kembali aktif selepas terjejas teruk akibat kekurangan peluang kerja susulan penularan pandemik COVID-19.

Sementara itu, Nor Hisham berkata terdapat beberapa projek rancangan tebatan banjir (RTB) yang ketinggala­n daripada jadual asal akibat pelaksanaa­n Perintah Kawalan Pergerakan dan setiap kontraktor diberikan lanjutan masa selama tiga bulan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia