Utusan Borneo (Sabah)

Separuh daripada rampasan penyeludup­an daun ketum datang dari kawasan FELDA

-

PADANG BESAR: Lima puluh peratus daripada jumlah rampasan penyeludup­an daun ketum di Perlis, dikenal pasti datang dari tiga kawasan tanah rancangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutua­n (FELDA) iaitu FELDA Rimba Mas, FELDA Chuping dan FELDA Mata Ayer.

Pegawai Pemerintah Batalion 18 Pasukan Gerakan Am (PGA) Supt Abd Razak Md Din berkata, ketiga-tiga kawasan itu merekodkan jumlah rampasan tertinggi sepanjang sebulan anggotanya ditugaskan untuk Ops Benteng COVID-19 di sini.

“Penyeludup menjadikan tiga Felda itu sebagai pusat memproses daun ketum, sebelum ia diseludup ke negara jiran kerana ianya memberi pendapatan yang lumayan,” katanya dalam sidang media mengenai kejayaan pasukan itu di sini, semalam.

Katanya sepanjang tempoh sebulan penugasan Batalion 18 PGA Pengkalan Hulu,

Kroh dalam Ops Benteng COVID-19 yang tamat semalam, berjaya merampas 19.6 tan daun ketum yang dianggarka­n bernilai kira-kira RM589,410, serta merampas pelbagai jenis kenderaan dan alat telekomuni­kasi dengan nilai keseluruha­n RM716,980.

Kelmarin Bernama melaporkan FELDA akan mengambil tindakan tegas, termasuk melucutkan hak tanah terhadap peneroka yang masih berdegil menanam pokok ketum, menerusi tindakan mahkamah di bawah Akta Penempatan Berkelompo­k (GSA) 1960.

Menerusi operasi bersepadu membabitka­n FELDA, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Tanah dan Galian (JTG) Perlis kelmarin, sebanyak 250 pokok ketum di FELDA Mata Ayer ditebang dan usaha tersebut akan diperluask­an secara berperingk­at ke semua FELDA di negeri itu. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia