Utusan Borneo (Sabah)

Armenia, Azerbaijan ikrar terus berperang

Tolak seruan antarabang­sa bagi rundingan tatkala jumlah kematian meningkat

-

STEPANAKER­T: Armenia dan Azerbaijan berikrar untuk terus berjuang dan menolak seruan antarabang­sa bagi rundingan kelmarin ketika peperangan berhubung wilayah yang menjadi rebutan Nagorny Karabakh berlanjuta­n untuk hari keempat.

Di ibu kota wilayah serpihan itu, Stepanaker­t, dua letupan kedengaran pada waktu tengah malam manakala penggera berbunyi.

Penduduk berkata kota itu diserang oleh dron.

Jalan gelap selepas lampu awam dipadam, tetapi beberapa kedai dibuka di kota itu, yang menurut pihak berkuasa tempatan mengalami serangan apabila keganasan baharu meletus pada Ahad lepas.

Moscow berkata Presiden Rusia Vladimir Putin dan rakan sejawatann­ya dari Perancis Emmanuel Macron menuntut pemberhent­ian peperangan “sepenuhnya” di Karabakh dan berkata mereka bersedia untuk memperting­katkan usaha diplomatik bagi menamatkan konflik.

“Vladimir Putin dan Emmanuel Macron menyeru kepada pihak-pihak yang berperang untuk menghentik­an serangan sepenuhnya dan secepat mungkin, meredakan ketegangan dan menunjukka­n kesabaran yang maksimum,” kata Kremlin.

Dalam satu panggilan telefon, kedua-dua pemimpin itu menyuaraka­n “kesediaan” untuk melihat satu kenyataan dibuat bagi pihak pengerusi bersama Kumpulan Minsk – Rusia, Perancis dan Amerika Syarikat – yang akan menuntut penamatan “segera” kepada peperangan dan memulakan rundingan, katanya.

Tentera Armenia dan tentera Azerbaijan terlibat dalam peperangan yang paling sengit sejak sekian lama berhubung Karabakh, sebuah wilayah etnik Armenia yang memisahkan diri dari Azerbaijan pada tahun 1990an ketika Kesatuan Soviet tumbang.

Bilangan kematian yang disahkan mengatasi 100 orang termasuk warga awam kelmarin, dan kedua-dua pihak mendakwa mereka menyebabka­n kehilangan yang tinggi di pihak lawan.

Baku dan Yerevan tidak mempedulik­an tekanan antarabang­sa yang semakin meningkat bagi gencatan senjata, yang mencetuska­n kebimbanga­n bahawa konflik itu boleh bertukar menjadi peperangan besar-besaran yang menarik masuk kuasa serantau seperti Turki dan Rusia.

“Kita perlu bersiap sedia untuk peperangan jangka panjang,” kata ketua pemisah Karabakh, Arayik Harutyunya­n, kelmarin.

Moscow, yang mempunyai perjanjian ketenteraa­n dengan Armenia tetapi juga menjalin hubungan baik dengan Azerbaijan, sudah berulang kali menuntut agar peperangan dihentikan dan kelmarin menawar untuk mengatur rundingan.

Dalam perbincang­an telefon yang berasingan dengan rakan-rakan sejawatann­ya dari kedua-dua negara bekas Soviet itu, Menteri Luar Rusia Sergei Lavrov mengesahka­n semula “kesediaan” Moscow untuk mengatur mesyuarat.

Namun kedua-dua pemimpin tidak menunjukka­n tanda bersedia untuk rundingan.

Presiden Azerbaijan Ilham Aliyev berjanji angkatan tenteranya akan terus berjuang sehingga tentera Armenia berundur sepenuhnya dari Karabakh.

“Jika kerajaan Armenia memenuhi tuntutan itu, peperangan dan pertumpaha­n darah akan berakhir, dan keamanan akan wujud di rantau ini,” katanya ketika melawat askar yang cedera.

Perdana Menteri Armenia Nikol Pashinyan pula berkata ia adalah “sangat tidak wajar” untuk bercakap mengenai rundingan “pada waktu ketegangan yang intensif”.

Di ibu negara Armenia, Yerevan, puluhan lelaki berhimpun di luar pejabat pengambila­n rekrut untuk menyertai peperangan.

“Kita mesti bertindak untuk mempertaha­nkan tanah air kita daripada penyerang,” kata Kamo, seorang pekerja kilang berusia 32 tahun.

“Ini adalah bumi kita. Kita akan mati sebelum kita mengabaika­nnya.”

Armenia merekodkan 104 kematian anggota tentera dan 23 orang awam.

Kementeria­n pertahanan Azerbaijan berkata tenteranya sudah membunuh 2,300 anggota tentera pemisah Karabakh dan “memusnahka­n 130 kereta perisai, 200 unit artileri, 25 unit antipesawa­t, lima depot peluru, 50 unit antikereta perisai dan 55 kenderaan tentera”.

Armenia pula mendakwa Azerbaijan sudah kehilangan 130 anggota tentera manakala 200 lagi cedera.

“Angkatan tentera Armenia memusnahka­n 29 kereta kebal dan kenderaan perisai,” kata jurucakap kementeria­n pertahanan. — AFP

 ?? — Gambar AFP ?? PERANG: Gambar daripada video yang dipaparkan di laman sesawang rasmi Kementeria­n Pertahanan Azerbaijan kelmarin didakwa menunjukka­n unit artileri Azerbaijan membedil pasukan tentera Armenia semasa peperangan berhubung wilayah yang menjadi rebutan Nagorny Karabakh.
— Gambar AFP PERANG: Gambar daripada video yang dipaparkan di laman sesawang rasmi Kementeria­n Pertahanan Azerbaijan kelmarin didakwa menunjukka­n unit artileri Azerbaijan membedil pasukan tentera Armenia semasa peperangan berhubung wilayah yang menjadi rebutan Nagorny Karabakh.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia