Utusan Borneo (Sabah)

Lelaki bersenjata didakwa tembak dua polis Los Angeles

-

LOS ANGELES: Seorang lelaki bersenjata di Amerika Syarikat (AS) didakwa kelmarin atas tuduhan menembak dua anggota polis Los Angeles dalam kereta mereka dari jarak dekat, selepas penangkapa­nnya berhubung satu jenayah lain membawa penyiasat kepada senjata yang didakwa digunakan dalam serangan itu.

Polis melancarka­n operasi awal bulan ini untuk mencari suspek yang digambarka­n sebagai “haiwan” oleh Presiden Donald Trump, manakala pencabarny­a dari Parti Demokrat Joe Biden mengecam perbuataan yang “tidak berhati perut” dan “kejam”.

Ganjaran AS$100,000 (RM430,000) ditawarkan bagi maklumat yang membawa kepada penangkapa­n penembak itu, yang dirakam oleh kamera pengawasan ketika dia dengan berani menembak dua timbalan syerif dalam kawasan kejiranan Compton.

Dua anggota polis itu – seorang lelaki dan seorang wanita yang masing-masing berusia 24 dan 31 tahun – dicederaka­n dengan serius oleh beberapa tembakan, termasuk ke bahagian kepala mereka, tetapi terselamat.

Deonte Lee Murray, 36, yang memiliki rekod jenayah yang panjang, didakwa atas dua tuduhan merancang cubaan membunuh anggota polis, dan kesalahan senjata api.

Jika disabit kesalahan, tertuduh berdepan dengan hukuman penjara seumur hidup.

Murray ditangkap pada 15 September lalu – tiga hari selepas serangan ke atas polis berkenaan – sebagai suspek dalam satu kes kecurian kereta sebelum itu yang melibatkan satu lagi serangan tembakan.

Sewaktu aksi kejar-mengejar dengan kereta yang membawa kepada penangkapa­nnya, Murray didakwa cuba membuang pistol, tetapi berjaya ditemui polis dan kemudian dikaitkan oleh pakar balistik dengan serangan ke atas polis berkenaan.

Serangan ke atas anggota polis itu, dalam kawasan kejiranan yang mempunyai kadar jenayah tinggi dan sejarah ketegangan antara polis dengan masyarakat berkulit hitam, menarik perhatian kepada bahaya yang dihadapi polis yang bertugas dan mengalih tumpuan daripada kempen ‘Black Lives Matter’ menentang serangan tembakan ke atas warga Afrika Amerika.

Ditanya mengenai motif lelaki bersenjata itu, kapten polis Kent Wegener berkata: “Dia ternyata membenci anggota polis dan dia mahu mereka mati.”

Murray mengaku tidak bersalah kelmarin ketika dia dibawa ke hadapan hakim, yang menetapkan ikat jamin sebanyak AS$6.15 juta (RM26.4 juta). — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia