Utusan Borneo (Sabah)

Polis marin patahkan cubaan sindiket pasarkan rokok, minuman keras seludup

-

PELABUHAN KLANG: Pasukan Polis Marin (PPM) mematahkan cubaan sindiket memasarkan rokok dan minuman keras seludup dengan menahan lima lelaki dalam satu serbuan di sebuah gudang di Telok Gong, di sini petang kelmarin.

Komander PPM Bukit Aman SAC Mohd Yusoff Mamat berkata serbuan pada jam 4 petang itu adalah hasil intipan serta risikan pihaknya selama dua bulan dan barangan berkenaan dipercayai dibawa masuk dari Vietnam menggunaka­n jalan darat susulan penguatkua­saan Ops Benteng ketika ini.

“Pemeriksaa­n lanjut terhadap gudang itu menemukan 62,380 karton rokok serta 1,008 botol minuman keras pelbagai jenama disimpan di situ.

“Selain barangan berkenaan, dua lori jenis ‘bonded’ lima tan serta sebuah kontena turut dirampas. Kesemua rampasan tersebut dianggarka­n bernilai hampir RM8 juta,” katanya pada sidang media di gudang berkenaan, di sini kelmarin.

Mohd Yusoff berkata rampasan barangan seludup itu adalah yang terbesar dilakukan pihaknya sejak pelaksanaa­n Perintah Kawalan Pergerakan.

Katanya, PPM sedang mengesan pemilik gudang berkenaan ekoran penahanan lima lelaki termasuk tiga pendatang tanpa izin warga Bangladesh berumur lingkungan 20 hingga 30 tahun itu dan pemandu lori serta penjaga premis tersebut.

Jelasnya lagi, siasatan lanjut mendapati modus operandi sindiket berkenaan adalah dengan membuat pengisytih­aran palsu mengatakan kontena itu membawa baju terpakai, beg berjenama tiruan, tisu dan biskut bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Sebelum ini, sindiket terbabit menyeludup barangbara­ng itu menggunaka­n bot laju melalui lorong tikus, namun modus operandi mereka berubah disebabkan penguatkua­saan oleh pihak berkuasa.

“Barang-barang ini dipercayai dibawa masuk melalui pelabuhan di Pulau Pinang sebelum lori jenis yang sama berpecah ke negeri lain untuk memasarkan barangan tersebut,” katanya.

Mohd Yusoff berkata kesemua lelaki yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? RAMPAS: Mohd Yusof (dua kanan) melihat pelbagai jenis rokok yang dirampas pada sidang akhbar di Telok Gong, Pelabuhan Klang kelmarin. Sebanyak 62,380 karton rokok pebagai jenis dan 1008 botol minuman keras dengan jumlah keseluruha­n RM7,996,673.45. Polis turut menahan 5 lelaki termasuk 2 warga tempatan dan 3 warga asing dalam serbuan tersebut. Turut hadir Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, ACP Rosman Ismail (kiri).
— Gambar Bernama RAMPAS: Mohd Yusof (dua kanan) melihat pelbagai jenis rokok yang dirampas pada sidang akhbar di Telok Gong, Pelabuhan Klang kelmarin. Sebanyak 62,380 karton rokok pebagai jenis dan 1008 botol minuman keras dengan jumlah keseluruha­n RM7,996,673.45. Polis turut menahan 5 lelaki termasuk 2 warga tempatan dan 3 warga asing dalam serbuan tersebut. Turut hadir Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, ACP Rosman Ismail (kiri).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia