Utusan Borneo (Sabah)

Ubah fakta sejarah perbuatan jenayah intelek, keilmuan

Langkah merakam, mencatat, merekodkan dan menyimpan bahan sejarah secara tepat adalah kewajipan: Sultan Nazrin

-

IPOH: Tindakan mengubah fakta sejarah merupakan perbuatan tidak adil dan satu perlakuan jenayah intelek serta jenayah keilmuan yang menafikan hak generasi akan datang untuk memperoleh fakta sebenar, demikian titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Baginda bertitah langkah merakam, mencatat, merekodkan dan menyimpan bahan sejarah secara tepat adalah kewajipan yang tidak boleh dikompromi­kan.

“Rekod sejarah yang lengkap berperanan penting untuk membantu negara mempertaha­nkan kedaulatan dan wilayah persempada­nan,” titah baginda ketika merasmikan bangunan Arkib Negara Malaysia negeri Perak di Meru, di sini, semalam.

Memberikan contoh tuntutan Pulau Sipadan-Ligitan pada 2002, Sultan Nazrin bertitah kejayaan Malaysia memenangi kes itu disebabkan negara memiliki bukti bahan arkib yang kukuh manakala kegagalan mempertaha­nkan hak milik tuntutan ke atas Pulau Batu Puteh (Pedra Branca) pada 2008 adalah disebabkan kekurangan bahan arkib sebagai sumber utama pembuktian kes.

Selain itu, Sultan Nazrin bertitah tugas pegawai arkib ketika ini semakin kompleks dan mencabar dalam memenuhi permintaan para penyelidik yang memerlukan maklumat secara mudah, tepat serta cepat, lebihlebih lagi apabila dokumen kini berbentuk elektronik, rekod bersifat sejagat yang boleh diakses oleh masyarakat antarabang­sa.

“Alhamdulil­lah, para pegawai arkib terbukti peka dengan dinamik yang sedang berlaku. Mereka mengambil langkah aktif berhijrah daripada paradigma kerja yang didorong oleh keperluan penyelidik­an akademik berasaskan keperluan untuk mengetahui kepada kegiatan mempromosi maklumat dan memudahkan akses maklumat kepada masyarakat dunia,” titah Sultan Nazrin.

Sultan Perak itu juga bertitah, arkib tidak lagi berperanan sekadar mengumpul dan menyimpan bahan-bahan secara pasif, tetapi beralih untuk membangunk­an peranan sebagai pemboleh akses, bertukar daripada penyimpan rekod kepada pembekal maklumat, berusaha menghidupk­an minat dan mencetuska­n keghairaha­n masyarakat terhadap sejarah.

Oleh itu, baginda bertitah keperluan perkhidmat­an baharu hendaklah dipadankan dengan prasarana perkhidmat­an yang baharu di samping kesediaan pegawai arkib berhijrah menerokai budaya kerja baharu.

“...bermakna sumber manusia yang lebih profesiona­l serta dana lebih tinggi diperlukan demi memastikan arkib tidak berakhir menerima nasib sebagai kawasan perkuburan terbiar yang terpinggir sunyi dan profesion pegawai tidak menerima nasib dinosaur yang pupus ditelan zaman kerana ditinggalk­an oleh teknologi elektronik yang begitu pesat berkembang.

“Perkembang­an persekitar­an yang berlaku tidak harus ditafsirka­n sebagai ancaman sebaliknya hendaklah dilihat sebagai hamparan peluang baharu yang menyuntik dimensi lebih dinamik terhadap profesion pegawai arkib,” titah Sultan Nazrin.

Dalam titah perasmian itu juga, Sultan Nazrin secara peribadi memuji tahap profesiona­lisme para pegawai arkib serta kualiti, keandalan dan kesahihan khazanah maklumat dalam simpanan Arkib Negara yang banyak membantu ketika baginda menghasilk­an dua buku sebelum ini dan kini sedang dalam proses menghasilk­an buku ketiga.

Sultan Nazrin dalam pada itu turut menzahirka­n penghargaa­n kepada kerajaan Persekutua­n yang menyediaka­n peruntukan bagi membina bangunan arkib yang moden di Perak dan berharap Arkib Negara Malaysia terus maju dan berupaya berdiri sama tinggi dengan institusi arkib antarabang­sa. — Bernama

Rekod sejarah yang lengkap berperanan penting untuk membantu negara mempertaha­nkan kedaulatan dan wilayah persempada­nan. Sultan Nazrin Shah Sultan Perak

 ?? — Gambar Bernama ?? BERKENAN: Sultan Nazrin berkenan melihat bahan arkib yang dipamerkan di galeri selepas baginda merasmikan bangunan Arkib Negara Malaysia negeri Perak di Meru, Ipoh semalam.
— Gambar Bernama BERKENAN: Sultan Nazrin berkenan melihat bahan arkib yang dipamerkan di galeri selepas baginda merasmikan bangunan Arkib Negara Malaysia negeri Perak di Meru, Ipoh semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia