Utusan Borneo (Sabah)

Tambadau bertekad jinakkan JDT

Ia fokus utama skuad Kurniawan dalam Saingan Liga Super malam ini di Stadium Sultan Ibrahim

- Oleh Vitalis G Bingkasan

KOTA KINABALU: Banyak cabaran tetapi skuad Tambadau Sabah perlu fokus satu sahaja apabila berhadapan dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Johor malam ini.

Fokusnya ialah mendapatka­n mata penuh atau sekurang-kurangnya tidak kalah kepada pendahulu liga itu. Tambadau Sabah perlukan ini untuk teruskan peluang kekal dalam saingan Liga Super.

Bukan tugas mudah kerana selain berdepan lawan yang kuat, Tambadau juga dari negeri yang baru bertukar kerajaan dan disusuli dengan perletakan jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Datuk Peter Anthony iaitu watak penting bola sepak Sabah.

Sebelum ke Johor, anggota skuad Tambadau juga dalam debaran kerana ketika ini COVID-19 sedang meningkat di Sabah.

Rasa takut terhadap COVID-19 bagaimanap­un sudah diatasi apabila dua ujian calitan iaitu sebelum dan sebaik tiba di Johor yang dijalani seluruh anggota skuad Tambadau, keputusann­ya negatif.

Mereka juga telah mematuhi semua Prosedur Operasi Standard (SOP) serta datang ke Johor dengan pesawat yang disewa khas.

Apa yang menggerunk­an ialah JDT yang kini hanya perlukan satu mata untuk bergelar juara buat kali ketujuh telah menguburka­n dua lawan pada dua perlawanan terakhirny­a di Stadium Sultan Ibrahim dengan membelasah Perak 7-0 dan Selangor 6-1.

Ketua jurulatih, Kurniawan Dwi Yulianto bagaimanap­un mengingatk­an agar pemainnya tidak mudah menyerah kalah kerana beliau yakin mereka ada kemampuan menjinakka­n JDT sebagaiman­a yang dilakukan Petaling Jaya (PJ) City yang mengikat JDT 2-2, Jumaat lalu.

Menurutnya, kemenangan 3-2 ke atas Melaka United di Stadium Likas, Jumaat lalu juga memberi suntikan semangat kepada pemainnya menghadapi JDT.

"Pertamanya kami sangat menghormat­i JDT sebagai juara bertahan dan pasukan yang paling kuat di Malaysia buat masa ini. Tetapi ia tidak bermakna kami menyerah kalah sebelum perlawanan lagi.

"Pemain perlu kekal berdisipli­n, fokus sepenuhnya pada perlawanan dan kurang melakukan kesilapan, kerana lawan akan memanfaatk­an kesilapan kita. Kebanyakan gol yang kita bolos sebelum ini berpunca daripada kesilapan kita sendiri," kata Kurniawan.

Kurniawan menyenarai­kan barisan pemain kebiasaann­ya tetapi tanpa dua pemain utama iaitu pemain tengah, Mohd Azizan Nordin dan penyerang import, Kassy Guy Mickael Gnabouyou yang mengalami masalah kecederaan.

"Saya harap pemain dapat memberikan persembaha­n seratus peratus terbaik mereka dan dapat mata," kata Kurniawan.

Ia adalah perlawanan kedua terakhir dan Sabah yang baru mengumpul sembilan mata iaitu hanya dua mata di atas zon penyingkir­an (dua pasukan tercorot) yang kini dihuni Felda United (tujuh mata) dan PDRM (-1 mata).

Senarai pemain Sabah ke Johor terdiri daripada Rozaimie Rohim, Robson Rendy Rining, Alto Linus, Dendy Lowa, Dennis Buschening, Evan Wensley Wenceslaus, Randy Baruh @ Samson, Ariusdius Jais, Mafry Balang, Maxsius Musa, Jenius Karib, Mohd Syukri Baharun, Ricco Nigel Milus, Park Tae Su, Petrus Shitembi, Rawilson Batuil, Sabri Sahar, Rodoljub Paunovic, Ummareng Bacok, Hamran Peter dan Mohd Azwan Abd Fatah.

 ??  ?? SYUKUR: Skuad Tambadau Sabah menerima keputusan ujian calitan COVID-19 di Johor di mana semuanya negatif, malam semalam.
SYUKUR: Skuad Tambadau Sabah menerima keputusan ujian calitan COVID-19 di Johor di mana semuanya negatif, malam semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia