Utusan Borneo (Sabah)

Program derma darah BSMM berpanduka­n SOP sepanjang Nov

- Oleh Safrah Mat Salleh

KOTA KINABALU: Sekurang-kurangnya 300 pain darah diperlukan untuk sehari bagi hospital di seluruh negeri Sabah.

Penyelaras Program Darah sempena Pandemik COVID19 merangkap Timbalan Pengerusi Program Darah Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Negeri Sabah Leslie Chan dalam kenyataan berkata, BSMM Negeri Sabah telah mengambil inisiatif untuk membantu Unit Tabung Darah Sabah menjalanka­n program derma darah yang akan diadakan sepanjang bulan November ini.

Beliau berkata, ekoran penularan pandemik COVID-19 di Negeri Sabah yang semakin meningkat dan agak membimbang­kan, bekalan darah hospital di seluruh Negeri Sabah telah sampai ke tahap yang kritikal.

“Pada bulan oktober yang lalu, Unit Tabung Darah Hospital Elizabeth I, Hospital Kudat dan Hospital Tuaran terpaksa ditutup untuk sementara waktu disebabkan terdapat kakitangan hospital yang telah disyaki positif COVID-19. Disebabkan hal ini juga, penderma tidak berani untuk hadir ke hospital untuk menderma darah.

“Keadaan yang kritikal ini telah menyebabka­n Unit Tabung Darah Sabah meminjam bekalan darah daripada Hospital Kuala Lumpur dan Negeri Sarawak sebanyak dua kali yang melibatkan 600 pain darah pada Mac 2020 dan 850 pain darah pada September 2020.

“BSMM memahami bahawa transfusi darah merupakan komponen penting dalam perawatan pesakit terutamany­a untuk mangsa kemalangan, ibu mengandung yang mengalami komplikasi pendarahan, bayi pra-matang, pesakit kanser dan talasemia serta pesakit yang menjalani pembedahan major.

“Oleh yang demikian, BSMM Negeri Sabah telah mengambil inisiatif untuk membantu tabung darah menjalanka­n program derma darah dengan mematuhi garis panduan dan tatacara pengedalia­n aktiviti pendermaan darah yang dikeluarka­n Kementeria­n Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Leslie menjelaska­n bahawa program derma darah akan diadakan sepanjang bulan November pada 6-8, 13-15, 20-22 dan 27-29 bermula jam 9 pagi hingga 4 petang di Bangunan BSMM Negeri Sabah di sini.

Program berkenaan merupakan anjuran bersama dengan Majlis Perkhidmat­an Masyarakat Sabah, Persatuan Talasemia Sabah dan Unit Tabung Darah Hospital Queen Dua manakala tajaan adalah daripada Lions Club KK Sutera, KK City Park, KK City dan KK Lintas.

“Dengan itu, pihak kami ingin merayu dan menyeru kepada semua rakyat sabah supaya tampil ke hadapan untuk menderma darah kepada pesakit-pesakit yang sedang menderita di hospital,” katanya dan menambah sebarang pertanyaan boleh berhubung terus dengannya di talian 013-9913119.

 ??  ?? DERMA DARAH: Antara penderma dalam program derma darah yang pernah diadakan BSMM sebelum ini.
DERMA DARAH: Antara penderma dalam program derma darah yang pernah diadakan BSMM sebelum ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia