Utusan Borneo (Sabah)

SAR seorang lagi mangsa diteruskan

- Oleh Hamzah Sanudin

TAWAU: Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) seorang lagi mangsa lemas di laut Kg Bergosong, Pulau Sebatik sejak lima hari lalu masih diteruskan.

Pengarah Zon Maritim Tawau Kepten Maritim Siva Kumar Vengadasal­am berkata, operasi yang bermula Jumaat lalu itu masih diteruskan meskipun tiada penemuan dan petunjuk baharu yang diperoleh.

“Kita berharap agar mangsa berjaya ditemukan kerana ketika ini operasi SAR tidak lagi secara koordinasi bersama agensi keselamata­n lain sebaliknya setiap agensi melakukan pencarian secara bersendiri­an,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang operasi ini pasukan penyelamat hanya menemui mayat Madsun Telson, 5, yang terapung di kawasan perairan Indonesia manakala kakaknya berumur 8 tahun, masih belum ditemui.

Kedua-duanya dipercayai terjatuh ke dalam laut semasa mandi bersama seorang lagi adik dan rakannya di jeti berdekatan kampung mereka pada petang Jumaat lalu.

Siva berkata, operasi yang masuk hari kelima pada Selasa itu turut mendapat kerjasama yang baik daripada pasukan keselamata­n Indonesia melalui Konsulat Republik Indonesia di Tawau.

Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut melakukan pencarian di bahagian dalam tongkang lama di kawasan mangsa terjatuh selama dua jam, namun gagal menemui petunjuk.

“Pencarian yang dilakukan terbahagi kepada lima sektor yang mencapai keluasan 59 batu nautika persegi dari lokasi mangsa terjatuh,” katanya.

Antara agensi yang terlibat dalam SAR itu adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), JBPM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawa­n Malaysia (RELA) dan juga penduduk setempat.

“Penglibata­n seluruh pasukan penyelamat daripada lain-lain agensi dalam dan luar negara termasuk komuniti maritim setempat amat dihargai,” katanya.

 ??  ?? OPERASI: Penyelam daripada anggota bomba turut mencari di dalam tongkang lama di kawasan mangsa jatuh.
OPERASI: Penyelam daripada anggota bomba turut mencari di dalam tongkang lama di kawasan mangsa jatuh.
 ??  ?? PENCARIAN: Siva turut menyertai SAR kanak-kanak lemas terbabit.
PENCARIAN: Siva turut menyertai SAR kanak-kanak lemas terbabit.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia