Utusan Borneo (Sabah)

Catatan saya sebagai wartawan di Utusan Borneo

- (Catatan Ketua Pemberita Utusan Borneo Saibi Gi)

TIDAK lama selepas berpindah ke pejabat Utusan Borneo dan The Borneo Post di Bintulu sebagai Ketua Pemberita, saya dikejutkan dengan insiden bot ekspres karam di Sungai Anap, Tatau, Bintulu.

Saya dan rakan setugas segera bergegas ke tempat kejadian yang berlaku pada 18 Oktober 2010. Lokasi kejadian berhampira­n dengan kem pembalakan.

Tiga belas orang terkorban apabila bot ekspres membawa kira-kira 20 penumpang tersangkut tali tongkang kayu balak, menyebabka­nnya terbalik dan karam.

Saya masih ingat ketika itu saya cuma dapat menghantar berita menggunaka­n telefon A.T.U.R yang dipinjam dari kem pembalakan ke pejabat berita di Kuching. Tiada liputan telefon di kem pembalakan yang terletak agak jauh dari bandar Bintulu.

Sekurang-kurangnya tiga hari saya dan rakan-rakan wartawan berkampung di lokasi kejadian menunggu usaha mencari mangsa dalam bot ekspres.

Seorang rakan wartawan berseloroh dengan saya, “kenapa bila kau pindah ke Bintulu terus ada insiden besar”. Saya sekadar tersenyum.

Melihat mayat mangsa insiden-insiden sebegini merupakan antara asam garam kehidupan sebagai wartawan. Dimaki-hamun itu juga lumrah jika berita yang ditulis tidak disenangi pihak tertentu.

Ketika mula bekerja sebagai pemberita kadet pada 2002, saya ditugaskan untuk membuat liputan insiden tanah runtuh yang menimbus sebuah rumah di Siburan yang mengorbank­an satu nyawa.

Sebagai orang baharu dalam media - saya ketika itu masih ‘blur’ - apa nak ditulis, bagaimana hendak mendapatka­n maklumat dan persoalan lain.

Rakan-rakan wartawan lain banyak berkongsi ilmu kerana saya tidak ada pengetahua­n mengenai bidang kewartawan­an. Saya cuma gemar membaca surat khabar sejak di bangku sekolah menengah.

Setiap petang balik dari sekolah, saya akan pergi ke Perpustaka­an Majlis Daerah Dalat dan Mukah di pekan Dalat untuk membaca akhbar seperti Berita Harian, Utusan Malaysia dan Utusan Sarawak.

Zaman 1990-an tiada berita dalam talian. Walaupun lewat sehari surat khabar akan sampai, saya tetap membaca. Saya enggan ketinggala­n pengetahua­n am dan perkembang­an negara.

Kerjaya sebagai wartawan tidak pernah terlintas di benak kepala saya sejak dari bangku sekolah hingga berakhir zaman universiti.

Mengimbas awal kerjaya sebagai wartawan di Utusan Borneo, saya bermula sebagai pemberita kadet pada 2002 hingga saya dilantik sebagai Penolong Ketua Pemberita pada 2007.

Kemudian pada 2010 saya dilantik mengetuai bilik berita Utusan Borneo di Kuching.

Enam bulan bertugas di pejabat Bintulu, pada Mac 2011, saya kembali bertugas di pejabat Utusan Borneo di Kuching - sebelum Pilihan Raya Negeri 2011 - mengetuai bilik berita selepas Dewan Undangan Negeri Sarawak dibubarkan bagi memberi laluan pilihan raya diadakan.

Menyajikan berita-berita bermutu menjadi keutamaan saya dalam melaksanak­an tugas sebagai ketua bilik berita.

Pada 2015, Utusan Borneo juga enggan ketinggala­n dalam menyajikan berita dalam talian. Dengan wujudnya www.utusanborn­eo. com.my, para pembaca dapat melayari berita di hujung jari.

Saya dipertangg­ungjawabka­n mengemudi Utusan Borneo Online. Sehingga hari ini, laman web ini sering dikunjung warga maya yang ingin mengetahui perkembang­an tempatan.

Dengan rakan-rakan setugas yang begitu komited dalam melaksanak­an tugasan harian, saya begitu berbangga dengan kejayaan yang dikecapi Utusan Borneo pada hari ini.

Satu cabaran besar yang dihadapi dunia kewartawan­an pada masa ini ialah persaingan dengan media sosial. Banyak laman Facebook yang ditubuhkan dan mewujudkan persaingan dengan media konvension­al dalam menyajikan berita terkini.

Kadang-kadang yang paling menyakitka­n hati, apabila karya kami disalin bulat-bulat tanpa sedikit pun menyatakan sumber asal.

Media konvension­al atau arus perdana wajar mengatasi laman-laman Facebook, kerana wartawan mempunyai banyak kelebihan berbanding pentadbir laman-laman Facebook. Ada kontak, ada kemahiran menulis, ada akses kepada orang kenamaan dan dapat membuat liputan pelbagai majlis rasmi kerajaan.

Wartawan pada era media sosial sewajarnya berupaya menyelami kehendak pembaca.

Sekadar cadangan yang sering terlintas di benak kepala saya selama 18 tahun dalam industri media, mungkin lebih baik akhbar mencetak artikel-artikel berbentuk analisis, kritikan dan kolum berbanding mencetak semula berita yang sudah disiarkan di dalam talian - dah basi!

Saya berharap agar surat khabar tidak akan pupus dek saingan media sosial.

Apa jua masa depan surat khabar, saya cukup berterima kasih kepada pengurusan syarikat Utusan Borneo kerana memberi ruang dan peluang kepada saya untuk berkarya selama 18 tahun.

Semoga Utusan Borneo terus maju, semoga wartawan terus mendukung nilai kewartawan­an setinggiti­ngginya.

 ??  ?? UNTUK KENANGAN: Wartawan Utusan Borneo dan The Borneo Post di pejabat Kuching bersama Saibi pada majlis perpisahan ringkas semalam.
UNTUK KENANGAN: Wartawan Utusan Borneo dan The Borneo Post di pejabat Kuching bersama Saibi pada majlis perpisahan ringkas semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia