Utusan Borneo (Sabah)

163 program Diploma Vokasional dapat akreditasi penuh setakat Oktober 2020

-

KUALA LUMPUR: Sebanyak 163 program Diploma Vokasional Malaysia (DVM) dalam pelbagai bidang telah mendapat akreditasi penuh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) sehingga Oktober tahun ini.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata program berkenaan telah disenaraik­an dalam Daftar Kelayakan Malaysia (MQR) dan mendapat akreditasi penuh daripada badan penarafan seperti MQA dan Malaysia Board of Technologi­sts (MBOT).

“Program-program yang telah disenaraik­an dalam Daftar Kelayakan Malaysia adalah diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmat­an Awam dan pihak berkuasa melantik seperti Suruhanjay­a Perkhidmat­an Awam dan Suruhanjay­a Perkhidmat­an Pelajaran.

“Justeru, mana-mana siswazah daripada pogram yang disenaraik­an itu layak memohon untuk berkhidmat di sektor awam atau melanjutka­n pelajaran mereka ke peringkat lebih tinggi di dalam mahupun luar negara,” katanya dalam ucapan sesi Kamar Khas persidanga­n Dewan Rakyat di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai jawapan kepada usul Natrah Ismail (PH-Sekijang) mengenai ‘Isu Akreditasi Penuh Oleh MQA Kepada Program-Program Yang Ditawarkan Di Kolej Vokasional’.

Sementara itu berhubung permohonan Akreditasi Penuh bagi 257 program DVM, Kolej Vokasional, Noraini berkata MQA sehingga semalam belum menerima permohonan itu dari Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (BPLTV) untuk diproses.

“Berdasarka­n piagam MQA, proses penilaian ini akan mengambil masa sembilan minggu bagi setiap program. Tempoh itu diperlukan bagi membolehka­n semua kriteria dapat dinilai dengan teliti dan ia telah dipatuhi sepenuhnya oleh pemohon.

“Penilaian bagi semua permohonan Akreditasi Penuh program DVM yang lengkap diterima, akan diproses segera setelah diterima oleh MQA mengikut piagam yang ditetapkan,” katanya.

Jelas beliau, proses penilaian akreditasi program akademik yang ditawarkan oleh institusi pengajian tinggi (IPT) dilaksanak­an bagi memastikan standard dan kualiti program itu berada pada tahap yang tinggi.

Dalam konteks penilaian akreditasi program DVM yang ditawarkan oleh kolej vokasional di seluruh negara, Noraini berkata kementeria­n melalui MQA sentiasa bekerjasam­a rapat dengan BPLTV, Kementeria­n Pendidikan dalam menyelaras dan menyelesai­kan sebarang isu yang mungkin timbul semasa proses penilaian. —

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia