Utusan Borneo (Sabah)

Penganggur mengaku mencuri dipenjara 15 bulan

-

SIBU: Mahkamah Majistret di sini semalam menjatuhka­n hukuman penjara 15 bulan ke atas seorang penganggur yang mengaku bersalah mencuri komponen kenderaan.

Tertuduh, Mohd Firdaus Ting, 50, diperintah Majistret Muhammad Faizal Che Saad untuk menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, Firdaus didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas mencuri komponen kenderaan motor pada 31 Oktober 2020, kira-kira jam 10.30 malam di sebuah bengkel di Lorong Ding Lik Kong 20.

Dia didakwa mencuri satu unit boster brek, satu unit kotak fius, hos pendingin hawa dan suis pendingin hawa.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Seksyen 379A memperuntu­kkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih tujuh tahun dan juga boleh dikenakan denda, jika sabit dengan kesalahan.

Firdaus juga dikenakan denda RM1,500 atau sebulan penjara oleh mahkamah sama setelah mengaku bersalah atas tuduhan gagal mengemukak­an dokumen pengenalan diri ketika diperiksa dan ditahan oleh pihak polis.

Bagi pertuduhan ini, dia didakwa mengikut Peraturan 25(1)(n)PeraturanP­endaftaran Negara 1990, yang sabit kesalahan boleh dikenakan penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Berdasarka­n fakta kes, pengadu yang juga pemilik bengkel telah dihubungi seorang pekerjanya yang memaklumka­n ada orang yang tidak dikenali berada di luar bengkel milik pengadu.

Salah seorang suspek iaitu tertuduh berjaya ditangkap pekerja pengadu sementara seorang lagi rakan tertuduh berjaya melarikan diri.

Pemeriksaa­n oleh pengadu mendapati beberapa komponen dari van milik pelanggann­ya yang diletakkan di luar bengkel telah dicuri dan ditemui di dalam kereta Kancil milik tertuduh.

Pihak polis yang dihubungi kemudian menahan tertuduh dan ketika diperiksa, tertuduh gagal menunjukka­n dokumen pengenalan diri ketika diminta berbuat demikian.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia