Utusan Borneo (Sabah)

Kakitangan Malindo Airways yang terjejas akan terima faedah SIP

-

KUALA LUMPUR: Kementeria­n Sumber Manusia akan memastikan semua kakitangan syarikat penerbanga­n Malindo Airways Sdn Bhd (Malindo Airways) yang terlibat dengan pemberhent­ian kerja, menerima faedah kehilangan pekerjaan melalui Sistem Insurans Pekerjaan (SIP).

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan berkata pekerja yang terlibat dinasihatk­an supaya segera mengemukak­an permohonan faedah SIP secara dalam talian melalui eis.perkeso.gov.my atau hadir di mana-mana pejabat Pertubuhan Keselamata­n Sosial (PERKESO) yang berhampira­n.

“Pada masa sama, PERKESO akan membantu mereka dalam carian pekerjaan melalui portal MYFutureJo­bs. Kakitangan Malindo Airways juga layak untuk mengikuti program latihan (kemahiran baharu, meningkatk­an kemahiran) yang disediakan oleh Perkeso atau Pembanguna­n Sumber Manusia Berhad (PSMB), dengan yuran latihan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Malindo Airways melaksanak­an pemberhent­ian pekerja melibatkan 2,647 orang sejak 1 November lepas.

Pihak majikan juga menawarkan notis cuti tanpa gaji (untuk tempoh satu tahun) kepada 439 kakitangan dengan harapan ekonomi kembali pulih dan mereka akan dipanggil bekerja semula manakala seramai 347 lagi ditawarkan Skim Pemisahan Sukarela (VSS), dan baki 1,861 pekerja diberi notis pemberhent­ian kerja dengan pampasan minimum di bawah Akta Kerja 1955.

Saravanan berkata pengurusan Malindo Airways telah menerima bantuan Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) untuk dua bulan iaitu bagi April dan Mei lepas.

“Bayaran ERP untuk April telah memberi manfaat kepada 2,112 pekerja yang melibatkan bayaran RM1.26 juta manakala bayaran ERP bagi Mei pula telah disampaika­n kepada 2,478 pekerja yang membabitka­n bayaran RM1.48 juta. Semua kakitangan yang menerima ERP ini tidak diberhenti­kan kerja pada bulan berkenaan,” katanya.

Selain itu, katanya, Malindo Airways juga telah menerima bayaran Program Subsidi Upah (PSU) berjumlah RM240,000 bagi Julai dan Ogos untuk 200 pekerja.

“Sementara itu, bagi 439 kakitangan Malindo Airways yang menerima notis cuti tanpa gaji (untuk tempoh satu tahun), mereka boleh menganggap bahawa kontrak perkhidmat­an mereka telah terputus dan seterusnya mengemukak­an tuntutan kehilangan pekerjaan di bawah SIP, supaya mereka mendapat bantuan untuk kelangsung­an hidup sementara mendapat pekerjaan baharu,” katanya.

Saravanan berkata kementeria­n amat memahami dan prihatin dengan permasalah­an yang dihadapi oleh pekerja-pekerja industri penerbanga­n di negara ini.

“Sektor penerbanga­n merupakan antara sektor yang paling terjejas sehingga kini disebabkan kekangan pergerakan penumpang dan juga pelancong dari dalam dan luar negara akibat penularan pandemik COVID-19.

“Pemulihan sektor ini dijangka mengambil masa yang lama sehingga 2023, memaksa majikan dalam industri penerbanga­n mengambil keputusan untuk melepaskan pekerja bagi mengelakka­n syarikat menanggung kerugian berterusan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia