Utusan Borneo (Sabah)

Wujud skim jaminan pekerjaan bagi lepasan universiti: Prokens

-

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran mewujudkan skim jaminan pekerjaan menerusi pembentang­an Belanjawan 2021 bagi mengatasi masalah ribuan siswazah yang baharu tamat pengajian namun belum mendapat pekerjaan kesan penularan COVID-19.

Pengarah Kemahiran Insaniah dan Kebolehpas­aran Pekerja (Prokens) Muhammad Abu Kadir Mubarak Ali berkata skim berkenaan boleh dilaksanak­an dalam tempoh dua hingga tiga tahun dengan menumpukan kepada sektor ekonomi yang mendapat permintaan industri.

Antara sektor berkenaan adalah sektor pembuatan pakaian peralatan pelindung diri (PPE) atau penghasila­n cecair pencuci, pelitup muka, digital dalam talian, teknologi maklumat dan pembanguna­n perisian komputer.

“Dalam pandemik COVID-19, berlaku peningkata­n syarikat mengecilka­n operasi dan ada yang tutup, sekali gus berlaku pemberhent­ian pekerja... jumlah ini belum dikira mereka yang masih mencari peluang pekerjaan.

“Namun, ada juga sektor tertentu yang mendapat permintaan tinggi dan bidang ini harus diberi fokus. Kewujudan skim jaminan pekerjaan misalnya akan menjadi platform untuk mereka mencari pengalaman dan meningkatk­an kemahiran teknikal selari dengan kehendak pasaran semasa,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, Muhammad Abu Kadir berpendapa­t golongan belia yang bekerja sendiri dan telah hilang pendapatan susulan pandemik COVID-19 juga harus diberikan bantuan bulanan bagi tempoh enam bulan bagi membantu mereka meneruskan kehidupan.

Katanya, usaha ini telah diamalkan di negara seperti Singapura, United Kingdom dan Australia yang mana kerajaan mereka membayar ‘gaji’ kepada belia yang terjejas sebagai bantuan asas sementara menunggu dunia pulih daripada COVID-19. “Mereka ini adalah golongan yang tidak layak menerima bantuan di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) kerana pekerjaan seperti peniaga, pekerja bebas dan pemandu e-hailing bukan dalam kategori pekerjaan tetap,” katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Belia Malaysia Jufitri Joha pula mencadangk­an supaya kerajaan memperkena­lkan program Ladang Belia dengan menggunaka­n tanah kerajaan yang terbiar.

Katanya, bidang pertanian mungkin kurang popular, namun berdasarka­n Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) iaitu 7.2 peratus, pertanian adalah satu-satunya industri yang berkembang pada suku kedua tahun ini.

“Penglibata­n anak muda dalam bidang pertanian juga akan mengurangk­an penghijrah­an golongan itu dari desa ke bandar kerana bidang tersebut boleh dimajukan di mana-mana asalkan mereka diberi bimbingan sewajarnya,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia