Utusan Borneo (Sabah)

Belanjawan 2021: Peminjam yang berdepan bayaran tunggakan lebih tiga bulan tagih bantuan

-

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa membantu golongan peminjam yang mempunyai masalah bayaran pinjaman tunggakan melebihi tiga bulan dengan bank sehingga ada antara mereka diisytihar­kan muflis dan harta dilelong.

Presiden Persatuan Penyelesai­an Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM) Rosland Mohd Arif berkata senario ini berlaku apabila sumber pendapatan mereka terjejas akibat pandemik COVID-19 terutama mereka yang bekerja sendiri.

“Mereka bukan degil tidak mahu bayar. Mereka mahu bayar ansuran pinjaman, tapi mengikut kadar kemampuan masing-masing, bukan mengikut kadar pinjaman ansuran yang ditetapkan oleh bank,” katanya kepada Bernama.

“Bank sepatutnya bertoleran­si dalam memudahkan urusan setiap peminjam yang dalam keadaan tertekan, bukannya ambil tindakan terburu-buru seperti isytihar muflis dan harta peminjam seperti rumah, pejabat dan kereta dilelong, walaupun rayuan dan cadangan telah dikemukaka­n oleh pengadu” tambahnya.

Rosland berkata penangguha­n bayaran balik atau moratorium hanya layak pada peminjam yang tidak ada tunggakan dari tarikh moratorium mula dikuatkuas­akan.

“Peminjam yang bermasalah ini sepatutnya diberikan keutamaan moratorium dan buat penjaduala­n semula ikut kemampuan masing-masing,” katanya sambil menambah pihaknya menerima 50 kes aduan seperti itu setiap hari sejak penularan pandemik.

Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Mohd Yusof Abdul Rahman berharap bantuan prihatin seperti e-dompet dapat diteruskan bagi meningkatk­an kuasa membeli pengguna dalam persekitar­an pandemik ini, sekali gus merancakka­n sektor perniagaan.

“FOMCA berpandang­an tumpuan utama kerajaan adalah mengurangk­an kesan ekonomi yang dihadapi rakyat, jadi adalah perlu bantuan kewangan diberikan bagi membantu menggalakk­an rakyat untuk kembali berbelanja.

“Rakyat tidak peduli berapa nilai bantuan diterima, namun harapan mereka ia dapat disegeraka­n kerana ramai yang agak terhimpit dengan keadaan terkini,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia