Utusan Borneo (Sabah)

Taska, tadika di daerah Kuching kekal ditutup

Keputusan itu diambil berikutan keadaan semasa COVID-19 belum stabil di daerah tersebut

- Oleh Rusnan Mustafa

KUCHING: Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) memutuskan agar tadika dan taska di Zon Merah COVID-19 iaitu daerah Kuching kekal ditutup.

Pengerusin­ya yang juga Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, keputusan untuk menutup sementara operasi taska dan tadika di daerah Kuching berikutan keadaan semasa COVID-19 yang belum stabil di daerah tersebut.

“Pagi tadi (semalam) kita telah berbincang mengenai perkara ini, keadaan di Kuching kita lihat (keadaan penularan wabak COVID19) masih tidak berapa stabil.

“Kita dapat saksikan taburan kes baharu positif ini tidak tertumpu kepada sesuatu kawasan, jadi kita khuatir ia boleh merebak ke taska dan tadika.

“Sebab itu kita memutuskan untuk menutup sementara operasi taska dan tadika di daerah Kuching,” katanya pada sidang media harian COVID-19 di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini semalam.

Malah jelas Uggah, kes baharu positif COVID-19 semalam di daerah Kuching juga melibatkan kanakkanak.

“Jadi kita masih meminta untuk tadika dan taska ditutup di kawasan daerah Kuching,” katanya sambil menambah, pihaknya terpaksa menolak permohonan meskipun terdapat permintaan untuk membuka operasi taska dan tadika di Kuching.

Tegas beliau, JPBNS hanya akan membenarka­n taska dan tadika dibuka di kawasan hijau sahaja.

“Kita tunggu keadaan betul-betul stabil,” ujarnya.

Pada Rabu, Menteri Kebajikan, Kesejahter­aan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembanguna­n KanakKanak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, Institusi Pendidikan Awal KanakKanak (IPAKK) iaitu tadika dan taska di Zon Merah COVID-19 iaitu daerah Kuching dibenarkan beroperasi semula dengan syarat harus memohon kebenaran daripada kementeria­nnya.

Malah katanya, bagi bahagian-bahagian lain yang tidak dikategori­kan sebagai Zon Merah COVID-19, tadika dan taska boleh beroperasi berkuat kuasa sertamerta.

Pada 29 Oktober 2020 JBPNS telah memutuskan semua IPAKK di daerah Kuching yang dikategori­kan sebagai Zon Merah COVID19 ditutup berkuat kuasa 30 Oktober hingga 13 November 2020.

Pagi tadi (semalam) kita telah berbincang mengenai perkara ini, keadaan di Kuching kita lihat (keadaan penularan wabak COVID-19) masih tidak berapa stabil. Datuk Amar Douglas Uggah Embas Pengerusi JPBNS

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia