Utusan Borneo (Sabah)

11,000 warga Habsyah lari ke Sudan: Pegawai pelarian

-

KHARTOUM: Sekurangku­rangnya 11,000 warga Habsyah yang lari daripada konflik di wilayah Tigray sudah merentasi sempadan dan memasuki negara jiran Sudan, kata seorang pegawai Sudan kelmarin.

Agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau UNHCR berkata ia sedang membantu Sudan untuk menyediaka­n bantuan kepada lebih 7,000 pelarian yang telah merentasi sempadan dari Habsyah sejak dua hari lalu, dan memberi amaran “jumlah itu kemungkina­n besar akan meningkat dengan ketara”.

Perdana Menteri Sudan Abdalla Hamdok, yang dipetik oleh agensi berita kerajaan SUNA ketika beliau menerima kunjungan Menteri Luar Eritrea Osman Saleh, menyeru agar “peperangan dihentikan secepat mungkin” dan kembali ke meja rundingan.

Alsir Khaled, ketua agensi pelarian Sudan di Kassala, terdahulu memberitah­u AFP bahawa 6,000 orang telah merentasi sempadan dan memasuki negeri itu pada minggu ini dan 5,000 lagi ke dalam Gadaref, kedua-duanya di timur Sudan.

Pegawai yang dipetik oleh SUNA berkata mereka bimbang kemasukan pelarian, yang menerima bantuan daripada petani tempatan yang telah mengumpul makanan dan menyediaka­n tempat perlindung­an, dijangka akan melonjak dalam masa beberapa hari akan datang.

Di kalangan mereka yang telah lari dan merentasi sempadan adalah askar Habsyah.

Usaha Sudan untuk membantu pelarian semakin sukar, kata Khaled, yang menambah Khartoum sedang menunggu sokongan dari agensi bantuan antarabang­sa.

Dalam satu kenyataan, UNHCR berkata ia sedang membantu untuk menyediaka­n bantuan kepada “wanita, kanak-kanak dan lelaki” yang mencari keselamata­n di Sudan selepas mereka lari daripada peperangan di Habsyah.

“Dengan ribuan pelarian yang tiba di sempadan Sudan dalam tempoh 24 jam, dan dengan konflik yang nampak semakin buruk, jumlah itu dijangka akan meningkat dengan ketara,” kata UNHCR.

Pelarian disediakan makanan dan air di pusat perlindung­an sementara di pusat transit berhampira­n sempadan, kata pertubuhan yang berpangkal­an di Geneva itu.

Ia telah memperting­katkan kesiapsiag­aan bantuan kecemasan di wilayah berkenaan selepas agensi itu turut menjangkak­an ketibaan lebih ramai pelarian di negara jiran.

“Kami menggesa kerajaan di negara jiran untuk terus membuka sempadan kepada orang yang terpaksa meninggalk­an kampung halaman mereka,” kata Clementine Nkweta-Salami dari UNHCR.

Beliau juga merayu kepada Habsyah untuk “mengambil langkah yang akan membolehka­n kita untuk terus memberi bantuan dalam keadaan selamat kepada pelarian dan penduduk yang kehilangan tempat tinggal dalam wilayah Tigray”.

Perdana Menteri Habsyah Abiy Ahmed menghantar tentera ke negeri utara Tigray pada minggu lepas setelah perbalahan selama berbulan-bulan dengan parti pemerintah di sana.

Abiy, yang memenerima Hadiah Keamanan Nobel pada tahun lepas, berkata Barisan Pembebasan Rakyat Tigray (TPLF) telah melintasi “garisan merah” dan menyerang dua pangkalan tentera persekutua­n, satu dakwaan yang dinafikan oleh parti tersebut.

Masyarakat antarabang­sa telah menyuaraka­n kebimbanga­n tentang potensi bagi konflik yang berlarutan di Habsyah, negara dengan jumlah penduduk kedua terbanyak di Afrika.

UNHCR berkata ia “amat bimbang mengenai lebih 96,000” orang di kem pelarian Habsyah, selain 100,000 di Tigray yang terpaksa meninggalk­an kampung halaman mereka.

Ia berkata ia “masih bimbang mengenai keselamata­n pelarian dan pekerja kemanusiaa­n kerana jarak kem yang agak dekat dengan lokasi peperangan serta situasi yang semakin buruk”.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia