Inisiatif Kerajaan Persekutuan disambut baik
Geran Khas Prihatin kepada pemandu teksi, kereta sewa, e-hailing
KENINGAU: Pengusaha teksi dan perkhidmatan kereta sewa di sini menyambut baik inisiatif Kerajaan Persekutuan memberikan Geran Khas Prihatin kepada pemandu teksi, kereta sewa dan e-hailing di negeri ini.
Penolong Setiausaha Persatuan Teksi dan Kereta Sewa Bumiputera Daerah Keningau (PSTBDK) Subarjoe Jalil Angkub berkata, pengumuman geran itu amat melegakan serta ditunggutunggu.
“Perkhidmatan teksi dan kereta sewa adalah antara sektor yang terjejas teruk sejak penguatkuasaan Perintah
Kawalan Pergerakan (PKP) COVID-19 Mac lalu sehingga sekarang,” katanya.
Menurut Subarjoe, suasana keperitan dan kepayahan hidup yang dihadapi menyebabkan golongan ini kehilangan sumber pendapatan harian dan boleh dikatogerikan sebagai hilang pekerjaan.
Dalam pembentangan Belanjawan 2021, Menteri Keawangan Senator Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz antara lain mengumumkan para peniaga, penjaja serta pemandu teksi, kereta sewa dan e-hailing dan pemandu pelancong di Sabah akan menerima Geran Khas Prihatin sebanyak RM1,000.
Dalam pada itu Subarjoe menambah, lebih menyedihkan apabila rata-rata golongan ini tidak mempunyai tabungan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk dikeluarkan bagi meneruskan kesinambungan hidup.
Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Presiden Persatuan Kebudayaan dan Kebajikan Etnik Kujau, Gana dan Nabai Sabah (KGNS) Hj. Yazid Hj. Mohd Hasnan Tawik Mansai @ Charles menyifatkan Belanjawan 2021 sebagai yang terbesar sejak pembentukan Malaysia.
“Belanjawan 2021 ini adalah belanjawan rakyat yang menjurus kepada pembangunan rakyat pada keseluruhan di mana semua lapisan rakyat mendapat agihan.
“Kerajaan Perikatan Nasional (PN) kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhiddin Yassin adalah kerajaan rakyat yang memang mendengar suara dan pandangan rakyat,” katanya.
Yazid menambah, keputusan menggantikan Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) juga merupakan satu sistem penyaluran bantuan yang akan membantu meringankan bebanan rakyat.
Bagaimanapun Yazid berharap tidak berlaku ketirisan dalam pelaksanaan belanjawan, sebaliknya setiap sen yang digunakan dapat dinikmati dan dirasai segenap rakyat di negara ini.