MPS akan bantu pengusaha kedai kopi, restoran mendapatkan BKSS
SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) akan membantu para pengusaha kedai kopi dan restoran di sini untuk dipertimbangkan mendapat Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS).
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kawalan Pembangunan dan Kecantikan Bandar MPS Kaunselor Joseph Chieng berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada pengusaha yang terbeban serta mengalami kesulitan semasa berniaga ketika pandemik COVID-19 ini.
“Ini kerana mereka bukan tergolong dalam kalangan penjaja untuk menerima BKSS tetapi mereka terkesan ketika wabak ini.
“Saya akan membawa perkara ini pada mesyuarat bulanan MPS pada bulan depan bagi perhatian lanjut bagi membantu mereka,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Terdahulu, beliau telah mempengerusikan sesi dialog bersama Persatuan Pemilik Kedai Kopi dan Restoran Sibu yang diketuai Pengerusinya Tong Ing Kok di sini.
Chieng memberitahu, seramai 805 premis kedai kopi dan restoran didaftarkan di bawah MPS.
Pada sesi dialog itu jelasnya, ahli-ahli tersebut juga memohon agar dapat menggunakan aplikasi Sarawak Pay di premis mereka seperti para penjaja di Pasar Sentral Sibu.
Jelasnya, pihak MPS sedia maklum mengenai permohonan tersebut dan akan membawanya kepada perhatian pihak majlis.
Mengenai perkara lain, Chieng memberitahu bahawa persatuan tersebut juga turut memohon permit untuk mempamerkan meja dan kerusi di kawasan kaki lima premis mereka pada tahun depan.
“Mereka juga mencadangkan agar ia dimasukkan ke dalam lesen tahunan mereka bagi memudahkan urusan dalam prosedur pelesenan perniagaan tersebut,” tambahnya.
Hadir sama pada sesi dialog tersebut ialah Senator Robert Lau, Setiausaha Politik Ketua Menteri Michael Tiang, Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu Wong Ching Yong serta ahliahli Exco Persatuan Pemilik Kedai Kopi dan Restoran Sibu.