Lelaki cuba curi tong gas dihantar ke Hospital Sentosa
KUCHING: Mahkamah Majistret di sini, semalam memerintahkan seorang lelaki yang didakwa cuba mencuri sebuah tong gas, dihantar ke Hospital Sentosa untuk menjalani pemerhatian selama sebulan.
Majistret Syarifah Fatimah
Azura Wan Ali memutuskan demikian selepas tertuduh, Mohd Sahhil Kanil, 31, memaklumkan mahkamah bahawa dia mempunyai masalah mental sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Justeru, tiada pengakuan direkodkan dan mahkamah menetapkan 30 Disember depan untuk sebutan semula kes.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam itu didakwa cuba mencuri sebuah tong gas milik Jolhi Joni, 52, di rumah mangsa yang terletak di Kampung Bako, dekat sini.
Perbuatan itu didakwa dilakukannya pada 26 November lalu, jam 12.30 tengah malam.
Mengikut keterangan kes, mangsa tersedar daripada tidur apabila terdengar bunyi bising dari arah luar rumah.
Mangsa dan anak lelakinya keluar dan melihat tertuduh sedang mengangkat tong gas miliknya yang diletakkan berdekatan pintu stor di dalam kawasan rumahnya.
Tertuduh cuba melarikan diri dari kawasan rumah mangsa namun berjaya ditahan oleh anak lelaki mangsa serta rakan-rakannya.
Hasil siasatan juga mendapati tertuduh tidak sempat melarikan tong gas tersebut.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 511 Kanun
Keseksaan kerana cubaan mencuri.
Sabit kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad.