JKKK digesa memantapkan sistem pentadbiran
SARIKEI: Ahli Dewan UNdangan Negeri (ADUN) Meluan Rolland Duat menggesa Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) memantapkan sistem pentadbiran mereka.
Katanya, usaha itu perlu diterjemahkan kepada konsep pentadiran lebih sistematik dan terancang.
Beliau berkata, JKKK mempunyai peranan amat penting dalam pembentukan sesebuah komuniti terutama di peringkat kampung atau rumah panjang.
“Justeru, JKKK perlu bergerak selari dengan kemajuandanperkembangan terkini agar masyarakat kampung dan penduduk rumah panjang dapat menikmati pembangunan kerajaan.
“Kita berharap semua ahli JKKK dapat menjalin hubungan baik dengan masyarakat di peringkat akar umbi agar misi dan visi membangunkan kawasan dapat dilakukan dengan jaya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Bengkel Komuniti Kepolisan di Rumah Bajau, Rantau Kuyang, Mujok Julau yang dihadiri sekitar 150 penduduk setempat.
Rolland berkata, penglibatan secara langsung ahli JKKK dalam membantu mempertingkat keselamatan kampung sangat penting dalam menjaga keselamatan dan keamanan sesebuah kampung.
“Kepimpinan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dan JKKK penting sebagai peneraju di peringkat komuniti kampung dalam membendung masalah sosial, bencana dan penyakit.
“Pada ketika ini, negara berhadapan dengan pandemik COVID-19 dan setiap rakyat harus mengamalkan prosedur operasi standard (SOP).
“Justeru, kedua-dua pihak sama ada KMKK atau JKKK perlu memastikan setiap penduduk mengamalkan norma baharu bagi mencegah penularan wabak COVID19,” jelasnya.
Turut hadir Pegawai Daerah Julau Khalid Andong, Setiausaha Politik Ketua Menteri Brain Fung Kok serta ketua-ketua masyarakat setempat.