Utusan Borneo (Sabah)

Tiga lagi kluster baharu dikesan

-

KUALA LUMPUR: Kementeria­n Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan tiga lagi kluster baharu COVID-19 yang membabitka­n Kuala Lumpur, Selangor dan Johor.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster pertama iaitu Kluster Jalan Lapan melibatkan daerah Hulu Langat di Selangor dan daerah Cheras, Kepong, Titiwangsa selain Lembah Pantai di Kuala Lumpur.

Kes indeks kluster itu (kes ke-59,246) dilaporkan positif COVID-19 pada 25 Nov lepas hasil saringan individu bergejala.

“Sehingga hari ini, 306 individu telah disaring dengan 25 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata kluster kedua iaitu Kluster Batu Sembilan pula telah dikesan di Selangor melibatkan daerah Kuala Langat, Klang, Petaling dan Kuala Selangor.

Kes indeks (ke-58,486) dilaporkan positif COVID-19 pada 24 Nov lepas hasil saringan individu bergejala.

“Sehingga hari ini, 83 individu telah disaring dengan 19 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata kluster ketiga iaitu Kluster Nibong telah dikesan di Johor Bahru dan kes indeks (ke63,151) dilaporkan positif COVID-19 pada 28 Nov lepas hasil saringan individu bergejala.

“Sehingga hari ini, 152 individu telah disaring dengan 10 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,” katanya.

Beliau turut memaklumka­n bahawa sehingga hari ini, terdapat sejumlah 362 kluster telah dilaporkan termasuk tiga kluster baharu yang dilaporkan semalam.

Jumlah kluster yang telah ditamatkan pula ialah sebanyak 181 termasuk lima hari ini iaitu Kluster Sofi, Kluster Penjara Tapah, Kluster Kapor, Kluster Jambu dan Kluster Meldrum.

“Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau ialah sebanyak 181 kluster. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 41 kluster melaporkan pertambaha­n kes.

“Kluster-Kluster yang melaporkan pertambaha­n kes baharu tertinggi pada hari ini ialah Kluster Perigi (153 kes), Kluster Bintang (71) dan Kluster Cergas (66),” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia