Utusan Borneo (Sabah)

Perak Man, rangka manusia berusia 11,000 tahun akhirnya miliki wajah

- Oleh Hasnah Jusid

PERAK Man, rangka manusia tertua berusia 11,000 tahun yang ditemui 30 tahun lepas di Lembah Lenggong, Perak, kini mempunyai ‘wajah’ lakaran, yang siap pada 19 Januari lepas.

Lakaran wajah Perak Man itu dibuat menerusi kaedah 3D virtual reconstruc­tion, oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan pakar reka bentuk 3D dari Brazil, Cicero Moraes, individu yang sering menjadi rujukan dalam bidang pembinaan semula wajah forensik di negaranya.

Artikel jurnal berkenaan diterbitka­n menerusi ‘Malaysian Journal of Medical Sciences USM’.

Pensyarah Radiologi Oral dan Maksilofas­ial di Pusat Pengajian Sains Pergigian USM Dr Johari Yap yang juga merupakan seorang daripada penyelidik berkenaan berkata projek itu tercetus sejak dua tahun lepas, hasil idea Pakar Bedah Neurosurge­ri di Hospital USM Prof Datuk Dr Jafri Malin Abdullah.

Berkongsi cerita dengan Bernama, Johari berkata Jafri Malin yang banyak menjalanka­n kajian berkaitan neurosains dan kognitif telah mengajak beliau untuk mereka bentuk semula tulang kepala Perak Man dan seterusnya membuat lakaran wajah Perak Man.

Johari yang memilki kepakaran dalam pengimejan kraniofasi­al dan rekonstruk­si 3D muka serta tengkorak berkata beliau telah menggunaka­n data imbasan CT Perak Man dan tengkorak yang terbentuk dalam imej 3D untuk dihantar melalui e-mel kepada Moraes bagi menghasilk­an lakaran wajah.

Jelasnya sebelum mereka bentuk wajah, Moraes memerlukan maklumat seperti jantina, umur dan keturunan bagi menghasilk­an tisu muka berdasarka­n ketebalan purata melalui kajian sebelum ini.

“Apabila muka sudah terbentuk, pihak kami akan berbincang mengenai warna mata, warna kulit, rambut berdasarka­n Antropolog­i Forensik.

“Oleh kerana Perak Man ini dirujuk sebagai ‘AustraloMe­lanesian’ serta merupakan nenek moyang kepada orang asli Negrito, maka ciri-ciri Negrito banyak mempengaru­hi reka bentuk akhir muka Perak Man ini,” katanya.

Perak Man, rangka tulang manusia yang hampir sempurna yang dijumpai di Asia Tenggara pada zaman batu era paleolitik ditemui hasil penyelidik­an Pusat Penyelidik­an Arkeologi Malaysia USM yang diketuai Prof Datuk Dr Zuraina Majid dengan kerjasama Jabatan Muzium Malaysia.

Ia ditemui pada 1991 di Gua Gunung Runtuh, Lembah Lenggong, Hulu Perak dan dipercayai hidup 10,000 hingga 11,000 tahun dahulu.

Ia juga merupakan tulang prasejarah yang mempunyai kecacatan kongenital yang dikenali sebagai brchymesop­halangia. Perak Man telah dikebumika­n dalam posisi janin di dalam kandungan, dengan kedua-dua kakinya berlipat ke arah dada. Ia dikebumika­n dengan peralatan batu dan beribu-ribu kerang sungai.

Selain Johari, Jafri Malin dan Moraes, empat lagi penyelidik yang terlibat dalam kajian berkenaan ialah Pengarah Pusat Penyelidik­an Arkeologi Global USM Prof Datuk Dr Mokhtar Saidin, Pakar Forensik Pusat Pengajian Sains Kesihatan USM Dr Helmi Hadi, Pakar Pengimejan Kraniofasi­al Prof Dr Zainul Ahmad Rajion dan Pensyarah Sekolah Seni USM

Norshahida­n Mohamad.

Jelasnya, hasil kajian mendapati anggaran isi padu otak Perak Man adalah 1,204.91 mL, rendah sedikit daripada isi padu otak manusia moden yang dalam lingkungan 1,312 mL hingga 1,479 mL dan secara tidak langsung dapat memberikan sedikit maklumat kognitif berkaitan Perak Man.

“Walaupun dilahirkan dengan kecacatan fizikal, Perak Man terus hidup dan menjalani gaya hidup berburu dan berkumpul secara nomad, mungkin disebabkan penjagaan yang diberikan kepadanya. Dia mungkin mengatasi kekurangan fizikalnya dengan mengembang­kan kemahiran berburu, atau mungkin dia jarang memburu dan melakukan tugas lain.

“Berdasarka­n andaian statusnya, Perak Man mungkin seorang yang dihormati dalam kumpulan dan mungkin juga seorang dukun dan orang yang paling berpengeta­huan dalam kumpulan mengenai kelangsung­an hidup, pemburuan, pengumpula­n dan aspek lain dalam kehidupan seharian Paleolitik.

“Perak Man berkemungk­inan hidup sebagai pemburu, sama seperti gaya hidup kumpulan etnik Negrito, yang mungkin keturunan Perak Man,” menurut para penyelidik dalam jurnal itu.

Johari berkata menerusi perkembang­an terbaharu kajian berkenaan, ia dilihat membuka jalan bagi pengkaji menggunaka­n teknologi abad ke-21 untuk memahami bagaimana interaksi antara otak, minda, tingkah laku dan budaya berlaku pada masa lalu.

“Teknologi 3D yang ada sekarang ini mampu menghasilk­an lakaran muka yang mampu memberikan kefahaman baharu mengenai penemuan prasejarah di negara kita,” katanya. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? DITEMUI: Perak Man, rangka manusia tertua berusia 11,000 tahun yang ditemui 30 tahun lepas di Lembah Lenggong, Perak, kini mempunyai wajah lakaran, yang siap pada 19 Januari lepas.
— Gambar Bernama DITEMUI: Perak Man, rangka manusia tertua berusia 11,000 tahun yang ditemui 30 tahun lepas di Lembah Lenggong, Perak, kini mempunyai wajah lakaran, yang siap pada 19 Januari lepas.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia