Utusan Borneo (Sabah)

COVID-19: Polis Labuan pantau gerakan antivaksin

-

LABUAN: Polis Labuan akan memantau kegiatan kumpulan antivaksin di pulau itu yang menyebarka­n propaganda mengenai vaksin COVID-19 melalui pelbagai platform di media sosial.

Pemangku Ketua Polis Labuan DSP Mohd Ibrahim Mohd Ghani berkata pemantauan itu termasuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang menggunaka­n media sosial untuk menyebarka­n maklumat yang tidak tepat mengenai Program Imunisasi COVID19 Kebangsaan.

“Kami akan memantau penyebaran maklumat yang tidak tepat mengenai program vaksinasi ini dan jika ada laporan polis dibuat, kami akan mengambil tindakan segera terhadap mereka yang terlibat,” katanya kepada Bernama di Terminal Feri Labuan selepas ketibaan kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech COVID19 dari Kota Kinabalu semalam.

Beliau berkata walaupun jumlah golongan antivaksin tegar adalah kecil, namun pemantauan diperlukan kerana program imunisasi itu sangat penting untuk membentuk imuniti kepada penduduk di pulau itu dan di negara ini secara amnya.

Mohd Ibrahim turut mengingatk­an bahawa individu yang ditahan kerana terlibat dalam menyebarka­n propaganda antivaksin dan maklumat yang mengeliruk­an boleh didakwa mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya.

Berhubung keselamata­n 4,680 dos vaksin Pfizer-BioNTech COVID-19 yang ditempatka­n di pusat penyimpana­n vaksin Hospital Labuan, Mohd Ibrahim berkata pusat itu akan diawasi dengan baik oleh anggota polis selama 24 jam setiap hari.

“Adalah menjadi tanggungja­wab kami untuk memastikan program vaksinasi berjalan lancar sepanjang fasa,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia