Utusan Borneo (Sabah)

Rasuah RM6.35 juta: Bekas setiausaha politik Mat Sabu dibicara pada 15 Mac

-

KUALA LUMPUR: Perbicaraa­n kes bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri Pertahanan Mohamad Sabu yang menghadapi lima pertuduhan menerima dan meminta suapan berjumlah RM6.35 juta daripada sebuah syarikat kontraktor bagi membantu mendapatka­n projek di kementeria­n itu, akan bermula pada 15 Mac ini.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mahadi Abdul Jumaat berkata, mahkamah menetapkan 15 sehingga 17 Mac untuk perbicaraa­n kes dihadapi Mohd Azhar Che Mat Dali, selain menetapkan 12 Mac untuk sebutan kes itu.

“Pihak pendakwaan juga telah memaklumka­n kepada mahkamah bahawa seramai 37 saksi pendakwaan akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam perbicaraa­n kes,” katanya kepada pemberita selepas prosiding sebutan kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob, semalam.

Sementara itu, peguam Ariff Azami Hussein, yang mewakili Mohd Azhar berkata, pihak pendakwaan telah menyerahka­n dokumen berkaitan perbicaraa­n kepada pembelaan mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.

Bagi satu pertuduhan meminta suapan, Mohd Azhar, 50, didakwa meminta

RM5 juta daripada Pengarah Urusan Syarikat FEHM Entity Sdn Bhd Elias Jemadi Tajudin, sebagai upah membantu syarikat itu untuk dipilih menjadi Rakan Strategik dan Kontraktor Senggaraan Bagi Peralatan Perisikan Kementeria­n Pertahanan.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah hotel di Jalan Ampang, Kampung Baru, di sini pada 22 Julai 2019.

Bagi empat pertuduhan menerima, Mohd Azhar didakwa menerima suapan berjumlah RM1.35 juta daripada Elias Jemadi melalui Pengarah Syarikat Ikaira Resources Zainudin Abdul Majid dan Pengarah Syarikat Aqsa Solutions Sdn Bhd Ahmad Hisham Mohd Tajuddin bagi tujuan sama.

Lelaki itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di beberapa lokasi di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya, antaranya di parkir kediaman rasmi Menteri Pertahanan di sini, antara September 2019 dan Februari 2020.

Semua pertuduhan dikemukaka­n di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia