Utusan Borneo (Sabah)

Anggota ATM bertugas di kawasan operasi, misi luar negara kumpulan pertama divaksin: Ismail Sabri

-

KUALA LUMPUR: Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas di kawasan operasi dan penugasan di luar negara adalah kumpulan pertama penerima vaksin COVID-19 PfizerBioN­Tech dalam kalangan warga ATM, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, mereka adalah anggota ATM yang sedang dan akan bertugas di kawasan operasi seperti Ops Benteng, Ops Penawar, misi pengaman Pasukan Tentera Sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) dan Pasukan Pemerhati Antarabang­sa di Mindanao di bawah tentera darat, laut serta udara.

“Sebagai contoh vaksin ini akan diberi kepada anggota yang bertugas di Ops Benteng kerana mereka ini menjaga sempadan dan perairan negara serta berhadapan dengan pendatang asing tanpa izin.

“Selain itu, vaksin ini juga akan diberikan kepada Kumpulan Pemerintah­an Strategik dan Operasi di Markas ATM, Kementeria­n Pertahanan, Markas Angkatan Bersama, Markas-markas Formasi tentera darat, laut dan udara terutamany­a bagi mereka yang bertugas di bilik operasi dan bilik komunikasi markas-markas itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas menerima vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, di sini semalam.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, pemberian vaksin Fasa 1 itu juga disasarkan kepada pegawai dan anggota ATM yang terlibat mengoperas­ikan aset pertahanan strategik negara, antaranya pesawat pejuang, pesawat pengangkut, kapal-kapal tentera laut, juruterban­g helikopter tentera darat, laut dan udara serta anggota pasukan khas.

“Ia juga melibatkan anggota yang mengendali­kan aset pertahanan udara dan aset-aset khusus lain yang tidak boleh dikendalik­an oleh mana-mana pegawai dan anggota lain yang tidak dilatih khas,” katanya.

Beliau berkata, ATM telah menjadualk­an pemberian suntikan vaksin itu yang bermula kelmarin terutamany­a bagi petugas vaksinasi perkhidmat­an kesihatan ATM.

“Sejak kelmarin seramai 230 penerima telah divaksinas­ikan dengan dos pertama daripada vaksin jenis Cominarty keluaran Pfizer BioNtech,” katanya.

Ismail Sabri berkata, 14 pegawai dan anggota ATM dan PDRM yang akan terlibat dengan Misi Pemantau Antarabang­sa Mindanao akan turut divaksin dan akan berlepas ke Mindanao selepas menerima dos kedua mereka pada Mac depan.

“Di samping itu, seramai 40 anggota Kumpulan Wanita Kedua ATM bagi Misi UNIFIL akan menerima vaksin pada esok (hari ini) sebagai sebahagian dari program perlindung­an kesihatan sebelum bertugas di Lubnan,” katanya.

Mengulas mengenai warga ATM yang sedang bertugas di misi pengaman di Lubnan sama ada mereka menerima vaksin ini atau sebaliknya, Ismail Sabri berkata ATM telah menerima tawaran suntikan vaksinasi daripada pihak UNIFIL.

Mengenai pengalaman beliau menerima suntikan berkenaan semalam, Ismail Sabri berkata ketika suntikan beliau tidak rasa sakit.

“Saya sendiri telah mengambil vaksin dan orang ramai tidak perlu bimbang akan keselamata­n vaksin ini kerana ia telah melalui ujian keselamata­n dan kajian terperinci oleh syarikat yang mengeluark­annya.

“Apabila vaksin ini telah tiba di negara kita, kita sekali lagi menguji keselamata­n vaksin dan ini menunjukka­n bahawa vaksin ini diuji dengan tapisan keselamata­n yang tinggi,” katanya.

Ismail Sabri menasihatk­an orang ramai agar tidak mudah percaya dengan berita-berita palsu mengenai vaksin berkenaan.

“Saya percaya bahawa vaksin ini akan lebih memberi impak kerana Kementeria­n Kesihatan Malaysia telah mempunyai strategi untuk membendung wabak COVID-19 dalam memutuskan rantaianny­a,” katanya.

 ?? — Gambar Bernama ?? VAKSIN: Ismail Sabri Yaakob semalam menerima suntikan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju di Kuala Lumpur, semalam.
— Gambar Bernama VAKSIN: Ismail Sabri Yaakob semalam menerima suntikan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju di Kuala Lumpur, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia