Utusan Borneo (Sabah)

Lebih 50 peratus klien AADK Melaka dikenal pasti golongan B40

-

JASIN: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Melaka mengenal pasti lebih 50 peratus klien yang mendapat rawatan dan pemulihan di agensi itu adalah mereka yang datang daripada golongan B40.

Pengarah AADK Melaka, Nazir Mohamad berkata setakat ini, seramai 1,675 klien direkodkan dengan 72 peratus daripada mereka adalah berusia lingkungan 18 hingga 45 tahun.

“Jika kita lihat statistik tersebut, kemiskinan juga antara faktor segelintir daripada golongan ini mudah terjerumus dengan dadah kerana tekanan hidup dan menyebabka­n mereka terus dihimpit masalah kemiskinan.

“Di pihak AADK kami sentiasa mengatur strategi dengan melaksanak­an program bimbingan dalam usaha memberi sokongan kepada mereka supaya tidak terus dibelenggu masalah ketagihan seterusnya dapat membantu keluarga,” katanya kepada pemberita di Kesang Jaya di sini, semalam.

Terdahulu beliau hadir menyampaik­an bantuan kepada klien dan bekas klien AADK di sekitar Jasin pada Program Sentuhan Prihatin sempena Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan 2021.

Dalam pada itu, Nazir berkata kira-kira 80 peratus klien AADK di negeri ini patuh dan memberi komitmen melapor diri dan menjalani sesi kaunseling pada setiap bulan.

“Walaupun ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mereka menggunaka­n platform seperti Google Meet untuk perbincang­an secara dalam talian,” katanya.

Sementara itu, seorang daripada klien yang ditemui, Ahmad, 34, (bukan nama sebenar) berkata dia terharu dengan sokongan moral diberikan AADK bagi membantu mereka untuk terus pulih.

Katanya, pengalaman dua hari ditahan di AADK memberi pengajaran cukup bermakna padanya untuk kembali ke pangkal jalan kerana melihat kesusahan isterinya mencari wang untuk ikat jamin.

“Walaupun dua hari ditahan, tapi rasa rindu sangat dengan anak-anak yang masih kecil di rumah, mujur saya belum terlambat untuk kembali kerana baharu sahaja terjebak, sebelum ditahan di rumah pada Oktober tahun lepas.

“Saya terjebak kerana terikut-ikut dengan kawan sebab sebelum ini tidak bekerja, tetapi selepas menjalani rawatan, kini dunia saya selepas pulang bekerja hanyalah menghabisk­an masa dengan anak-anak dan isteri,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia