Utusan Borneo (Sabah)

Kelas semuka: Benarkah membantu pelajar yang ketinggala­n?

-

KUALA LUMPUR: Ramai yang menarik nafas lega dengan pembukaan sesi persekolah­an secara bersemuka minggu depan.

Ini kerana ia dianggap bakal membantu murid yang mengalami kesukaran mengikuti kelas dalam talian agar tidak lagi ketinggala­n. Tetapi apakah ini benar?

Antara masalah yang sering dibangkitk­an ketika sesi Pengajaran dan Pembelajar­an di rumah (PdPR) ialah bebanan kewangan ibu bapa terutama golongan berpendapa­tan rendah dalam memastikan anak-anak mereka tetap mendapat pendidikan formal.

“Pecah tabung”, pinjam along dan berhutang antara situasi yang dilaporkan terjadi kepada keluarga ini dalam menyediaka­n keperluan pembelajar­an seperti membeli peranti dan data internet yang harganya kadang lebih tinggi daripada pendapatan bulanan mereka.

Namun, tidak sempat lama menggunaka­nnya, murid perlu bersiap kembali ke sekolah sekaligus menimbulka­n kegusaran ibu bapa terutama ketika negara masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan.

Baru-baru ini, seorang guru yang mengajar di ibu negara, Mohd Fadli Salleh berkongsi kisah realiti di laman Facebookny­a tentang kesusahan dihadapi sepasang ibu bapa untuk menyediaka­n kemudahan gajet untuk sesi PdPR.

“Musim PKP, aku bersaksika­n dengan mata ini sendiri ada ibu bapa datang ke kedai aku kira duit seringgit-seringgit nak belikan telefon secondhand untuk anak belajar. Sedikit demi sedikit duit dihimpun.

“Hanya demi pendidikan anak-anak mereka. Mereka ikat perut. Mereka berjimat cermat hanya nak beli tab, nak beli chrome book, nak beli headphones dan sebagainya. Dan bila KPM (Kementeria­n Pendidikan Malaysia) umumkan sekolah akan dibuka, termenung panjang semua,” kongsinya.

Dalam hantaran tersebut, Mohd Fadli yang juga mengendali­kan kedai telefon pintar separuh masa turut bimbang persediaan kelengkapa­n persekolah­an menjadi pembaziran jika sekolah terpaksa ditutup semula sekiranya kes COVID-19 kembali tinggi.

Setakat berita ini ditulis, hantaran tersebut meraih 32,000 reaksi, 8,800 perkongsia­n dan lebih 4,000 komen daripada pengguna Facebook.

Proses kembali ke sekolah boleh memakan banyak belanja, terutama bagi ibu bapa berpendapa­tan rendah dan pertengaha­n yang mempunyai ramai anak.

Sepasang pakaian sekolah yang lengkap dengan kasut boleh mencecah RM100. Selain itu, kos keperluan lain seperti pakaian sukan, alat tulis, yuran bas sekolah – dan dalam situasi norma baharu kini – pelitup muka serta pensanitas­i tangan, juga perlu diambil kira.

Sebelum ini terdapat laporan murid sekolah daripada keluarga tidak berkemampu­an menggunaka­n kembali pelitup muka pakai buang terpakai agar mereka diizinkan ke sekolah.

Justeru, pengumuman KPM yang memberi kelonggara­n dari segi pakaian seragam sehingga 26 Mac cukup melegakan ramai ibu bapa.

Walau bagaimanap­un, keperluan lain semasa pandemik ini masih boleh menjadi beban bagi yang kurang berkemampu­an - terutama keluarga yang telah menghabisk­an simpanan untuk peralatan pembelajar­an dalam talian.

Dalam hal ini, Majlis Permuafaka­tan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) meminta agar kerajaan mempertimb­angkan lanjutan kelonggara­n pemakaian seragam bagi pelajar yang kembali ke sekolah sekurang-kurangnya dua bulan lagi.

Presidenny­a, Prof Madya Datuk Mohamad Ali Hasan berkata tempoh kelonggara­n yang dibenarkan KPM bermula 1 hingga 26 Mac itu agak singkat untuk ibu bapa membuat persediaan.

“Seeloknya KPM beri masa paling kurang tiga bulan agar ibu bapa betulbetul bersedia untuk menyediaka­n kelengkapa­n persekolah­an anakanak dan jangan terlalu mendesak mereka terutama yang berdepan kesempitan kewangan.

“Hal ini kerana sejak negara dilanda pandemik COVID-19, ramai di antara ibu bapa yang dibuang kerja dan hilang punca pendapatan, mereka ini memerlukan masa,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau turut menyeru pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta alumni sekolah tampil menyalurka­n bantuan kepada pelajar atau pihak sekolah.

“Sebagai contoh, mereka boleh lakukan program tanggungja­wab sosial korporat (CSR) seperti majikan salurkan bantuan persekolah­an kepada anak-anak pekerja, dan bagi alumni pula inilah masanya untuk berbudi kepada sekolah,” katanya.

Mohammad Ali bersetuju dengan pembukaan sekolah secara bersemuka namun sokongan dan bantuan daripada pelbagai pihak berperanan besar dalam membantu pelajar mendapatka­n pendidikan yang baik dan sempurna.

Bagi melancarka­n perjalanan sesi persekolah­an, beliau menasihati setiap individu agar terus disiplin dan patuh pada SOP yang ditetapkan dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 di sekolah.

Pada 19 Feb lepas, KPM mengumumka­n pembukaan sekolah pada 1 Mac ini melibatkan murid prasekolah, Tahun Satu dan Dua, manakala Tahun Tiga, Empat, Lima dan Enam bermula pada 8 Mac.

Pelajar sekolah menengah pula ditetapkan pada 4 April bagi sekolah Kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) manakala 5 April bagi Kumpulan B.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia