Utusan Borneo (Sabah)

Cheng Hoe lega saingan Liga-M 2021 bermula pada 5 Mac depan

-

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan Tan Cheng Hoe kini mampu menarik nafas lega dengan keputusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk memulakan saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2021 pada 5 Mac ini.

Pengendali berusia 52 tahun itu menyifatka­n situasi tersebut akan membantu pemain-pemain tampil lebih cergas sebelum menghadirk­an diri ke kem latihan pusat skuad kebangsaan yang dijangka bermula 22 Mac depan.

“Jika liga ditangguhk­an dan pemain yang terpilih terus sertai kem latihan, saya rasa sukar untuk menyediaka­n pemain dengan latihan yang bercorak taktikal, malah boleh mengundang kecederaan serius dalam kalangan pemain.

“Jika situasi itu terjadi, bukan sahaja skuad kebangsaan sahaja yang rugi tetapi kelab juga jika pemain cedera kerana latihan bercorak taktikal ini menuntut intensiti yang tinggi,” katanya dalam kenyataan dikeluarka­n MFL kelmarin.

Pada masa sama, beliau menyambut baik keputusan MFL untuk tidak menangguhk­an Liga-M ke tarikh yang lain kerana ia membantuny­a menilai pemain-pemain yang mahu dipanggil ke kem latihan skuad Harimau Malaya.

Sementara itu, beliau sedia membuka ruang sekiranya terdapat pemain yang menyerlah dalam lima perlawanan awal liga, namun semuanya bergantung terhadap kualiti dimiliki pemain berkenaan.

“Seperti biasa, kami akan memantau sebarang perkembang­an terhadap mana-mana pemain walaupun saya rasakan kita tidak boleh menilai 100 peratus kualiti yang ada pemain tersebut dalam lima perlawanan sahaja.

“Kami akan dapatkan gambaran terhadap pemain yang perlu diserapkan dalam pasukan nanti serta menilai secara keseluruha­n sebelum dipanggil sertai pasukan kebangsaan,” katanya.

Berdasarka­n kalendar Persekutua­n Bola Sepak Antarabang­sa (FIFA), tempoh 22-30 Mac merupakan ruang untuk pasukan negara mengadakan aksi persahabat­an dan situasi itu mahu diambil skuad kebangsaan untuk mengadakan latihan pusat.

Kali terakhir pemain negara dapat berkumpul mengadakan latihan bersama ialah pada November 2019, dan mereka kini masih dalam misi untuk layak ke Piala Asia menjelang pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 yang akan diadakan secara karnival pada Jun depan.

Liga-M 2021 membuka tirai pada 5 Mac ini akan menyaksika­n pertembung­an antara juara Liga Super 2020, Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dalam perlawanan Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia