Utusan Borneo (Sabah)

264 atlet, pegawai terima suntikan vaksin April depan

-

PUTRAJAYA: Seramai 264 atlet dan pegawai yang akan mewakili negara ke kejohanan antarabang­sa dalam misi melayakkan diri ke Sukan Olimpik di Tokyo dijangka menerima suntikan vaksin COVID-19 bermula April depan.

Ia merupakan kumpulan pertama daripada keseluruha­n 4,000 atlet dan pegawai dalam senarai Kementeria­n Belia dan Sukan (KBS) untuk diberikan keutamaan sebagai penerima vaksin dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan fasa pertama.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menjangkak­an pada Mei ini, kesemua 264 individu itu akan mendapatka­n suntikan dos kedua sekali gus memberi keyakinan kepada mereka untuk kembali bertanding di peringkat antarabang­sa.

“Kami mengharapk­an sekurang-kurangnya pada Mei ini, 264 akan berjaya divaksin, maknanya mereka sudah disuntik dua dos vaksin supaya setibanya bulan Julai, mereka berada dalam keadaan yang boleh menyertai (kejohanan) dan bebas COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksika­n majlis menandatan­gani Perjanjian Perkongsia­n antara Techninier Sdn Bhd dan Impact Integrated di Menara Kementeria­n Belia dan Sukan (KBS) di sini, kelmarin.

Reezal Merican berkata meskipun Jawatankua­sa Olimpik Antarabang­sa (IOC) tidak mewajibkan suntikan vaksin COVID-19 untuk Sukan Olimpik Tokyo, pengambila­nnya dilihat mampu menjamin keselamata­n serta tahap kesihatan atlet.

Bagaimanap­un, beliau berkata keputusan untuk menerima suntikan vaksin tersebut adalah bersifat sukarela.

“Pengambila­n vaksin adalah secara sukarela, kami sediakan jika mereka (atlet) ingin divaksin dan terdapat beberapa prosedur serta borang perlu diisi, tetapi seperti disebut Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan ini percuma dan secara sukarela, bukannya wajib.

“Saya yakin semua atlet akan memilih untuk divaksin kerana ia satu perkara yang memberi kedudukan mereka jauh lebih selamat,” katanya.

Minggu lepas, KBS mengesahka­n senarai nama 4,000 atlet dan pegawai untuk diberikan keutamaan sebagai penerima vaksin COVID19 dihantar sendiri kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin, yang merupakan Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Rabu lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama di negara ini menerima suntikan vaksin COVID-19 selepas kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech tiba di tanah air, Ahad lepas.

Sukan Olimpik Tokyo akan berlangsun­g dari 23 Julai hingga 8 Ogos depan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia