Utusan Borneo (Sabah)

Daerah Betong, Kanowit bertukar ke status Merah

-

KUCHING: Daerah Betong dan Kanowit bertukar ke status Merah kawasan jangkitan COVID-19 semalam setelah masing-masing merekodkan 46 dan 45 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari lepas.

Ini menjadikan jumlah daerah berstatus Merah jangkitan COVID-19 di negeri ini bertambah kepada 11 daerah selain Meradong, Kuching, Samarahan, Julau, Subis, Kapit, Bintulu, Miri dan Sibu.

Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam kenyataan semalam berkata, Daerah Selangau pula telah bertukar ke status Jingga setelah merekodkan sejumlah 40 kes jangkitan tempatan dalam 14 hari lepas.

Semalam sahaja katanya, 11 kes positif baharu dikesan di Daerah Betong di mana 10 daripadany­a melibatkan Kluster Jalan Muhibbah, manakala satu kes merupakan individu disaring melalui pengesanan kes secara aktif.

Manakala, sembilan kes positif baharu dikesan di Kanowit semalam hasil saringan melalui pengesanan kes secara aktif kontak rapat kes positif.

“Daerah Pusa telah bertukar ke status Kuning setelah dua kes jangkitan tempatan baharu dikesan di daerah ini.

“Manakala, Daerah Song bertukar ke status Kuning setelah hanya merekodkan sejumlah 17 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari lepas,” katanya.

Jelasnya lagi, Daerah Bau, Bukit Mabong, Dalat dan Sri Aman kekal berstatus Jingga dengan jumlah keseluruha­n 114 kes jangkitan tempatan dilaporkan dalam tempoh 14 hari lepas.

Manakala Daerah Asajaya, Beluru, Sarikei, Lundu, Saratok, Sebauh, Tatau, Pakan, Serian dan Belaga kekal berstatus Kuning dengan jumlah keseluruha­n 60 kes jangkitan tempatan dilaporkan dalam tempoh 14 hari yang lepas.

Lain-lain daerah Matu, Lawas, Daro, Simunjan, Lubok Antu, Telang Usan, Limbang, Tanjung Manis, Tebedu, Mukah, Kabong dan Marudi kekal berstatus Hijau.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia