Utusan Borneo (Sabah)

66 individu terima suntikan vaksin COVID-19 di Saratok

-

SARATOK: Seramai 66 orang terdiri daripada ketua-ketua jabatan kerajaan dan petugas barisan hadapan di Daerah Saratok menerima suntikan dos pertama vaksin COVID19, semalam.

Program itu dijalankan seawal jam 8 pagi dengan proses pendaftara­n penerima suntikan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Saratok Nazry Mohamat merupakan salah seorang daripada penerima suntikan vaksin itu.

Ketika dihubungi media, Nazry berkata beliau berasa sangat bertuah kerana menjadi sebahagian daripada individu yang menerima suntikan vaksin pada fasa pertama ini.

“Perasaan kita ketika menerima khabar mengenai ketibaan vaksin ini amat sukar digambarka­n dan nyata teruja bercampur gembira walaupun banyak isu timbul di media sosial berkaitan vaksin itu.

“Namun, kita ketepikan perspektif negatif itu dan menerima ketibaan vaksin dengan hati terbuka serta berharap dengan vaksin ini dapat mengurangk­an risiko jangkitan COVID-19 dan seterusnya menghentik­an rantaian penularan wabak ini.

“Apa yang berlaku hari ini (semalam) adalah satu pengalaman berguna dan disimpan dalam lipatan sejarah bagi saya terutama ketika menerima vaksin dan berharap masyarakat seluruh Malaysia dan di Saratok akan menerima vaksin ini,” katanya.

Pada masa sama, Nazry berharap sasaran 80 peratus negara memastikan rakyat di negara ini menerima vaksin dapat berjalan dengan lancar dan tercapai.

“Kita berharap sasaran itu dan pengagihan vaksin dapat dicapai dengan segera agar kita dapat menjalani kehidupan seperti biasa,” jelasnya.

Turut tersenarai menerima vaksin semalam ialah Pengarah Hospital Saratok Wan Muhammad Faizuddin, Pegawai Kesihatan Daerah Saratok Dr Syafiq Ameerul, Pegawai Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Saratok Aisyah Mohd Nor, Pegawai Majlis Daerah Saratok Bilong Engkas, Pegawai Jabatan Penerangan Daerah Saratok Florence Sebastian Unting, Ketua Polis Daerah Saratok DSP Mordani Tanin dan ketua-ketua jabatan lain.

Program suntikan itu dilakukan di Dewan Masyarakat Sri Krian Saratok dengan mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

 ??  ?? TERIMA SUNTIKAN: Nazry (depan, kiri) bersama ketua jabatan kerajaan lain setelah selesai menerima suntikan vaksin COVID-19 di Saratok, semalam.
TERIMA SUNTIKAN: Nazry (depan, kiri) bersama ketua jabatan kerajaan lain setelah selesai menerima suntikan vaksin COVID-19 di Saratok, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia