Utusan Borneo (Sabah)

15 penyerang di Thailand mungkin cuba selinap masuk Malaysia: KPN

-

JELI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menolak kemungkina­n 15 individu penyerang yang diburu polis Thailand akan cuba memasuki negara ini, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Justeru, Abdul Hamid berkata, pihaknya bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan memperketa­tkan kawalan di semua sempadan negara Malaysia-Thailand bagi menghadapi kebarangka­lian itu.

“Berhubung kawalan sempadan, kedua-dua pihak sama ada PDRM dan ATM sentiasa diingatkan supaya memperketa­tkan kawalan sempadan. Dengan kejadian yang berlaku di Thailand, kami tidak menolak kemungkina­n mereka (15 penyerang) itu akan masuk (Malaysia),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat tapak pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah Jeli dekat sini semalam yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat.

Beliau mengulas laporan dua anggota renjer maut manakala seorang lagi rakan mereka parah dalam letupan bom paip dan insiden berbalas tembakan di kampung di Ra-ngae, Narathiwat yang terletak di selatan Thailand, Jumaat lepas.

Media melaporkan, Ketua Polis Ra-ngae, Piyapak Thongpanle­rtkun berkata, dalam kejadian pada jam 6.50 pagi (waktu tempatan) itu, 16 anggota renjer yang sedang berehat di dalam khemah selepas melakukan rondaan di kawasan berkenaan dikejutkan dengan beberapa letupan, kemudian sekumpulan individu mula melontarka­n bom paip buatan sendiri serta melepaskan tembakan ke arah khemah itu.

Dalam perkembang­an lain, mengenai Ahli Parlimen Port Dickson merangkap Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipanggil memberi keterangan kepada pihak polis, Abdul Hamid berkata ia merupakan prosedur biasa bagi menjalanka­n siasatan lanjut.

Kelmarin, polis telah merakam keterangan Anwar berhubung siasatan terhadap kenyataan bersama yang dikeluarka­n Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang antaranya menolak keputusan kerajaan mengisytih­arkan darurat di seluruh negara, pada Januari lepas.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia