Utusan Borneo (Sabah)

Pembukaan sekolah: Harapan baharu pengusaha ‘bas kuning’

-

KUALA LUMPUR: Pengusaha bas sekolah di negara ini boleh menghela nafas lega menjelang pembukaan semula sesi persekolah­an bersemuka secara berperingk­at mulai 1 Mac ini.

Meskipun hanya melibatkan murid sekolah rendah pada peringkat permulaan, ia memberi sedikit sinar kepada mereka untuk bangkit semula selepas kegelapan panjang sejak dunia dilanda pandemik COVID-19 awal tahun lalu.

Presiden Persekutua­n Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia, Amali Munif Rahmat berkata, sektor itu sudah lama menderita sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dilaksanak­an tahun lalu yang memaksa sesi persekolah­an bersemuka ditangguhk­an.

“Hampir 40 peratus pengusaha bas sekolah gulung tikar. Jika dahulu kita ada dalam 10,000 pengusaha di seluruh negara namun kini saya berani cakap tinggal 6,000 sahaja. Selebihnya sudah gulung tikar, menanggung kerugian dek tidak mampu menampung kos selenggara bas dan ramai yang beralih ke sektor ekonomi gig.

“Hutang syarikat kredit dan kos selenggara antara beban kami terpaksa tanggung walaupun kali terakhir mendapat bayaran daripada ibu bapa adalah September tahun lalu. Secara keseluruha­n pada 2020 kami hanya dibayar sebanyak enam bulan sahaja iaitu Januari, Februari, Mac, Julai, Ogos dan September,” katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, Amali Munif berkata, selain jumlah pemain industri yang semakin menguncup, kebanyakan penjaga juga masih risau risiko jangkitan COVID-19 di dalam bas sekolah sehingga tidak lagi berani membenarka­n anak-anak mereka menggunaka­n perkhidmat­an itu.

“Ramai ibu bapa yang diberi kelonggara­n bekerja dari rumah juga telah mempengaru­hi jumlah pengguna perkhidmat­an kami kerana mereka mempunyai masa untuk menghantar sendiri anak-anak ke sekolah.

“Situasi ini agak membimbang­kan kerana graf kami menunjukka­n jumlah penurunan penumpang yang konsisten malah sejak tahun lalu sehingga ke hari ini kita sudah kehilangan lebih 500,000 penumpang atau kira-kira 33 peratus dari jumlah pengguna berbanding sebelum pandemik COVID-19 melanda,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia