Terdapat keperluan menaik taraf kemudahan sukan
BEAUFORT: Kemudahan rekreasi awam bukan sahaja perlu diselenggara tetapi juga ditambah baik selari dengan peredaran semasa bagi memastikan ianya memberi keselesaan kepada pengunjung untuk melakukan aktiviti sukan masing-masing.
Di samping memberi keselesaan ianya juga dilihat dapat meningkat keselamatan pengunjung daripada risikorisiko berbahaya yang boleh mendatangkan kecederaan semasa melakukan kegiatan sukan.
Justeru, Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun meluangkan masa meninjau laluan lasak berbasikal yang terletak berdekatan dengan Kompleks Sukan Daerah Beaufort bagi melihat sendiri keadaan yang perlu ditambahbaik.
Beliau berkata, terdapat keperluan untuk menaiktaraf laluan terbabit dan akan memanjangkan perkara itu ke pihak berkaitan untuk tindakan susulan.
Tambah beliau, usaha ini juga secara tidak langsung dapat menarik minat lebih ramai anak muda melakukan kegiatan sukan berfaedah yang dilihat akan memberi kesan baik terhadap tahap kesihatan diri untuk jangka masa panjang.
Dalam perkembangan berkaitan, Azizah turut menasihati orang ramai terutama pengunjung yang melakukan aktiviti sukan supaya tidak lalai dalam aspek keselamatan diri dengan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ketika bersukan.
Usaha ini penting dalam memutuskan rantaian wabak pandemik COVID-19 yang masih melanda seluruh negara ketika ini walaupun kes jangkitan menunjukkan sedikit penurunan.
Justeru Azizah mahu orang ramai supaya tidak leka memandangkan situasi ketika ini masih membimbangkan dan dikhuatiri sukar untuk melandaikan kes jangkitan sekiranya masyarakat tidak patuh dengan SOP yang ditetapkan.