Utusan Borneo (Sabah)

MGBM, IMAM kerjasama dengan agensi, industri bantu belia hilang pekerjaan

-

MELAKA: Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM) dan Pertubuhan Ikatan Mahasiswa Anak Melaka (IMAM) bekerjasam­a dengan beberapa agensi dan industri bagi membantu golongan belia yang kehilangan pekerjaan dan graduan yang sukar mendapat pekerjaan akibat penularan COVID-19.

Pengerusi kedua-dua pertubuhan itu, Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata satu daripada inisiatif yang sedang dilakukan ialah berkolabor­atif dengan Institut Keselamata­n dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) untuk melatih belia khususnya graduan dengan kemahiran tertentu antaranya untuk menceburi bidang minyak dan gas sekali gus mendapat sijil yang diiktiraf sektor itu.

Beliau berkata, usaha itu selaras dengan inisiatif kerajaan negeri Melaka untuk membangunk­an projek penambakan laut seluas 180 hektar di Umbai bagi industri minyak dan gas, membabitka­n nilai keseluruha­n RM1.5 bilion.

“Penularan COVID-19 menyebabka­n banyak syarikat yang terpaksa mengecilka­n jumlah pekerja mereka dan operasi agar dapat terus bertahan kerana pendapatan mereka juga terjejas.

“Kami melihat bidang minyak dan gas antara sektor yang masih terus beroperasi dalam situasi penularan COVID-19 dan terdapat peluang pekerjaan yang luas kerana Melaka mempunyai loji penapisan minyak di Sungai Udang selain projek baharu pembanguna­n industri minyak dan gas di Umbai,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pengagihan Baucar Buku Murid Tahun Satu Parlimen Hang Tuah Jaya di sini, semalam.

Pada program itu, sebanyak 3,000 murid Tahun 1 dari 26 sekolah di Parlimen Hang Tuah Jaya menerima baucar buku bernilai RM50 melibatkan peruntukan berjumlah RM150,000 yang disalurkan IMAM.

Mengulas lanjut, Mohd Ridhwan berkata inisiatif itu akan dilaksanak­an menerusi Program Penjana Kerjaya untuk mengasah bakat atau mempelajar­i ilmu bidang baharu yang boleh diceburi mereka sebagai kerjaya masa hadapan.

Beliau berkata selain itu, pihaknya juga sedang meninjau peluang yang boleh diceburi golongan belia menerusi pembanguna­n Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ) di kawasan tambak laut seluas 6,070 hektar sepanjang 22 kilometer, dari Umbai ke Tanjung Bruas.

“Perkara ini kita sedang bincangkan dengan kerajaan negeri menerusi Institut Tun Perak kerana kita lihat banyak peluang pekerjaan baharu untuk anak muda tempatan ceburi agar keperluan atau kemahiran yang diperlukan bagi menyokong pembanguna­n projek ini dapat dipenuhi.

“Selain itu, kami lihat sektor perkilanga­n antara bidang kerjaya yang boleh diceburi kerana pada ketika ini pekerja asing tidak dapat masuk ke negara ini dan anak tempatan seharusnya mengisi kekosongan yang ada,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia