JKKK Kampung Masjid Jepak bergotong-royong pasang papan tanda
BINTULU: Exco dan ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Masjid Jepak telah menjalankan kerja gotong-royong memasang papan tanda sumbangan Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Datuk Talib Zulpilip semalam.
Kos pembuatan papan tanda itu disalurkan menerusi Pusat Khidmat Masyarakat DUN Jepak.
Pengerusi JKKK merangkap Ketua Kaum Kampung Masjid Jepak Norlee Bakar menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada Talib kerana telah menyumbang papan tanda tersebut khusus untuk Kampung Masjid Jepak.
“Kerja-kerja gotong-royong memasang papan itu telah berjalan lancar dan selesai dilaksanakan pada hari ini (semalam) tanpa mengetepikan
prosedur operasi standard (SOP) dengan pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal bagi mengekang pandemik COVID-19,” ujarnya di sini semalam.
Justeru beliau berharap dengan adanya papan tanda itu akan memudahkan orang ramai terutama dari luar mengetahui kedudukan kampung itu di kawasan Jepak.