Aktiviti hiburan antara tidak dibenarkan sepanjang tempoh lanjutan PKPB
KUCHING: Aktiviti hiburan seperti di kelab malam atau pub, taman tema dan karaoke antara yang tidak dibenarkan sepanjang tempoh lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sarawak berkuat kuasa 2 hingga 15 Mac ini.
Larangan aktiviti ini adalah antara prosedur operasi standard (SOP) yang dikemas kini dan dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) pada 26 Februari lalu.
Menurut JPBNS, antara aktiviti hiburan lain yang turut tidak dibenarkan ialah taman permainan tertutup dan panggung wayang.
“Untuk aktiviti sukan dan rekreasi pula, penganjuran kejohanan dan pertandingan tempatan dan antarabangsa tanpa kelulusan Kementerian Belia dan Sukan dengan kehadiran penonton dan penyokong juga tidak dibenarkan sepanjang PKPB,” katanya semalam.
Selain itu kata JPBNS, penyertaan peserta dan pegawai dari luar negara ke kejohanan atau pertandingan sukan di Malaysia tanpa kebenaran masuk daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) juga tidak dibenarkan.
“Begitu juga dengan aktiviti massa yang melibatkan penyertaan melebihi 200 orang pada satu-satu masa,” tambah jawatankuasa itu.
Bagi aktiviti pelancongan yang tidak dibenarkan pula, katanya adalah melibatkan pelancongan ke kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
“Aktiviti pelancongan ke luar negeri oleh warganegara dan aktiviti pelancongan dalam negeri yang melibatkan pelancong asing memasuki Malaysia kecuali pelancong asing dari negara sebagaimana yang dinyatakan oleh Menteri,” katanya.
Tambahnya, majlis sosial seperti kenduri-kendara, majlis perkahwinan dan pertunangan, resepsi, majlis akikah, doa selamat, tahlil, sambutan hari kelahiran, ‘reunion’, ‘retreat’ dan lain-lain majlis sosial turut tidak dibenarkan.
Perkara-perkara lain yang tidak dibenarkan termasuk pengoperasian rumah urut, spa dan refleksologi.
“Apa-apa aktiviti yang boleh menyebabkan ramai orang hadir di suatu tempat sehingga menyukarkan penjarakan fizikal dan pematuhan kepada arahan Ketua Pengarah Kesihatan serta aktiviti-aktiviti lain (tidak dibenarkan) yang ditetapkan JPBNS dari semasa ke semasa,” katanya
Sementara itu, JPBNS memaklumkan bahawa aktiviti perniagaan, ekonomi atau industri dibenarkan beroperasi seperti ditetapkan kerajaan.
“Pasar raya, pusat beli-belah dan kedai runcit turut dibenarkan beroperasi mengikut SOP ditetapkan antara jam 6 pagi hingga 10 malam begitu juga restoran, kedai makan, kenderaan bersaji, penjaja tepi jalan, penjaja beredar, medan selera, pusat penjaja gerai makan tepi jalan dan kios namun perlu mematuhi SOP Sektor Makanan,” katanya.
Bagaimanapun tegasnya, operasi pasar tani, pasar malam dan bazar larut malam dan seumpamanya di ZonMmerah COVID-19 tidak dibenarkan beroperasi.
“Semua aktiviti keagamaan di rumah ibadat juga tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKPB bermula 2 hingga 15 Mac ini.
“Masjid dan surau dibenarkan mengumandangkan azan serta mendirikan solat lima waktu serta solat Jumaat dengan bilangan jemaah ditentukan oleh pihak berkuasa agama Negeri.
“Pengurusan dan petugas di semua rumah ibadat bukan Islam tertakluk kepada SOP dikeluarkan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) begitu juga sambutan perayaan bukan Islam,” jelasnya.
PKPB dilaksanakan di 19 zon di Sarawak melibatkan Zon Kuching (bahagian Kuching, bahagian Samarahan dan bahagian Serian); Zon Sri Aman (bahagian Sri Aman); Zon Sarikei (bahagian Sarikei dan bahagian Betong); Zon Mukah (bahagian Mukah); Zon Bintulu (bahagian Bintulu), Zon Miri (daerah Miri); Zon Beluru (daerah Beluru); Zon Subis (daerah Subis); Zon Bekenu (daerah Bekenu); Zon Telang Usan (daerah Telang Usan); Zon Marudi (daerah Marudi).
PKPB turut dilaksanakan di Zon Limbang (bahagian Limbang); Zon Sibu (daerah Sibu); Zon Kanowit (daerah Kanowit); Zon Selangau (daerah Selangau); Zon Kapit (daerah Kapit); Zon Song (daerah Song); Zon Belaga (daerah Belaga) dan Zon Bukit Mabong (daerah Bukit Mabong).