Utusan Borneo (Sabah)

Dua sahabat baik ditemui lemas selepas terjatuh ke Sungai Skudai

-

JOHOR BAHRU: Dua kanak-kanak lelaki, dipercayai sahabat baik yang hilang setelah terjatuh ke Sungai Skudai berdekatan Kampung Batu 8, di sini petang kelmarin, ditemukan lemas malam kelmarin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin Timbalan Penguasa Bomba I Mohd Suhaimi Abdul Jamal berkata, mangsa pertama iaitu kanak-kanak berumur sembilan tahun dijumpai kira-kira jam 8.58 malam sementara mangsa kedua berumur lapan tahun, ditemui kira-kira tiga jam selepas itu.

“Mangsa pertama Ahmad Daniel Abdullah, yang dikenal pasti oleh ibu mangsa dan bapa tiri mangsa manakala mangsa kedua Osmond Chan Wu Ye ditemui pada 12.10 tengah malam tadi,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mohd Suhaimi berkata, seramai lapan anggota daripada Balai Bomba Penyelamat (BBP) Larkin bersama lima anggota unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan bantuan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu utiliti hilux digegaskan ke tempat kejadian sejurus menerima laporan kira-kira jam 6.37 petang.

Beliau berkata, unit PPDA melakukan teknik ‘skin dive’ dan ‘windshield wiper searching’ pada kedalaman sungai kurang dua meter di lokasi kejadian sebelum menemukan kedua-dua mangsa berkenaan.

Mohd Suhaimi berkata, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk tindakan lanjut dan operasi mencari dan menyelamat selesai pada jam 12.53 tengah malam. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia