Bom beca ragut 10 nyawa di Mogadishu
MOGADISHU: Seramai 10 orang terbunuh malam kelmarin apabila sebuah beca yang membawa bahan letupan telah diletupkan oleh militan Al-Shabaab di sebuah restoran terkenal di Mogadishu, menurut polis.
Beca tiga roda, sesuai untuk membawa muatan di bahagian belakang, telah dipenuhi dengan bahan letupan ketika ia merempuh restoran berhampiran pelabuhan ibu negara, jurucakap polis Somalia, Sadik Dudishe memberitahu wartawan.
“Pengganas telah melakukan satu serangan kejam menyasarkan sebuah restoran yang sering dikunjungi oleh orang awam. Sepuluh orang maut dan 30 lagi tercedera dalam letupan tersebut.”
Seorang pegawai keselamatan dan sumber perubatan berkata angka tersebut mungkin akan menjadi lebih tinggi.
“Letupan adalah sangat berat dan menyebabkan kemusnahan besar-besaran serta kematian orang awam, operasi yang masih dilakukan bagi menentukan jumlah sebenar kematian namun maklumat yang diperolehi oleh pegawai keselamatan menunjukkan lebih 10 orang maut,” kata pegawai keselamatan Mohamed Osman.
Pegawai perubatan mengesahkan 20 orang maut dan 30 lagi tercedera.
Serangan telah diakui oleh militan Al-Shabaab yang dikaitkan dengan Al-Qaeda.
Mogadishu sering disasarkan dengan serangan oleh Al-Shabaab yang telah melakukan keganasan lama dan kejam untuk menjatuhkan kerajaan disokong dari peringkat antarabangsa di Mogadishu.
Mereka telah dihalau keluar dari Mogadishu pada 2011, namun masih mengawal beberapa kawasan wilayah dari mana mereka merancang dan melancarkan serangan yang kerap dan berdarah terhadap sasaran kerajaan dan orang awam. — AFP